Larangan jualan arak mungkin diperluaskan - Utusan Malaysia

Larangan jualan arak mungkin diperluaskan

AHMAD MARZUK SHAARY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan tidak menolak kemungkinan akan memperluaskan larangan jualan arak di tempat lain selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)  menguatkuasakan peraturan itu di sekitar ibu negara.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, selepas pendekatan DBKL mendapat maklum balas positif masyarakat, kerajaan sedia mempertimbangkan mengambil pendekatan sama.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan akan memperluaskan larangan itu di tempat lain berdasarkan komen dan pandangan positif masyarakat. Sebelum ini, kita menerima aduan penjualan arak di kedai runcit atau kedai 24 jam.

“Perkara ini perlu diteliti kerana berkait hukum agama,” katanya kepada pemberita selepas Program Inspirasiku MyHaus Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia  (Yapeim) dan Sumbangan Program Foodbank Yapeim di Kampung Parang Puting, di sini semalam.

Sebelum ini, DBKL mengeluarkan Garis Panduan dan Syarat Permohonan Lesen Minuman Keras yang menetapkan kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat tradisional Cina sekitar Kuala Lumpur tidak dibenarkan menjual minuman alkohol bermula 1 Oktober tahun depan.

Bagaimanapun penjualan alkohol bagi tujuan ubatan tradisional masih dibenarkan.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa melalui ciapan di akaun Twitter rasminya berkata, keputusan DBKL tidak membenarkan kedai runcit menjual arak mulai Oktober 2021 adalah muktamad.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, langkah itu wajar demi keselamatan umum termasuk bagi mengelak kejadian kemalangan yang melibatkan pemandu mabuk di negara ini.

“Tindakan itu juga sebagai sebahagian strategi holistik selain memberi kebaikan kepada masyarakat termasuk kaum, agama dan bangsa tanpa mengira fahaman politik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN