Kakak, tumpang tanya. Kenapa orang perempuan suka membebel? Jangan marah ye kakak”. Mesej tersebut saya baca dalam Facebook Messenger saya pada suatu petang ketika sedang menikmati kuih Onde Onde. Sudah lebih sebulan mesej itu di situ. Baru sempat saya baca.
Nasib tak terlekat kuih yang juga disebut buah Melaka itu di tekak. Apa punya soalan ini? Saya pun terus melihat gambar profil lelaki yang menghantar mesej itu. Saya tidak mengenali lelaki yang memakai jersi pasukan Manchester United itu. Memang saya biasa mendapat maklum balas, pendapat dan pertanyaan tentang akhbar ini dalam aplikasi itu. Ada yang ingin menghantar artikel, sajak dan cerpen. Paling saya tidak boleh lupa, ada juga yang bertanyakan soalan jenaka. Antaranya, `Puan betulkah, kalau kita minum Milo, kita boleh jadi sihat dan kuat?
Berbalik mengenai pertanyaan tentang wanita suka membebel atau berleter, ia mengingatkan saya tentang penyelidikan oleh profesor Sosiologi di Universiti Michigan, Amerika Syarikat pada tahun lalu.
Kata Profesor Madya Cathy Liu itu, suami yang kerap dibebel isteri akan panjang umurnya. Dia mengaitkannya dengan isu kesihatan. Wanita yang membebel mengenai penjagaan kesihatan, akan membuatkan pasangannya yang mungkin pesakit diabetes dan lain-lain lebih menjaga kesihatan sekali gus panjang umurnya.
Sementara itu dalam satu lagi penyelidikan disiarkan Journal of Epidemiology and Community Health di Denmark, beberapa tahun sebelum itu menyatakan lelaki yang selalu dileteri wanita selalunya pendek umur! Mereka boleh mati disebabkan oleh barah, penyakit jantung, penyakit hati akibat mengambil alkohol berlebihan atau kemalangan dan bunuh diri.
Mana satu yang betul ini? Kadang-kadang yang dinamakan penyelidikan pun bukan kita boleh terus terima 100 peratus. Ini kerana soal jawab adakalanya bukan melibatkan kelompok besar dan menyeluruh. Setakat ambil beberapa responden dan kemudiannya terus membuat kesimpulan. Bolehkah dikata mewakili pihak yang ramai?
Tetapi apa pun sepatutnya, pada saya, orang lelaki boleh menangani isu ini dengan mencari sebab kenapa perempuan itu membebel, apa isu yang dibebelkan dan mencari jalan penyelesaian supaya tidak lagi mendengar bebelan itu secara berterusan.
Memang betul, wanita cenderung mengomel atau membebel berbanding lelaki, tetapi juga benar majoriti lelaki lebih suka memilih untuk lari atau keluar daripada isu itu dengan tidak mendengar dan menganggap wanita kuat membebel adalah fitrahnya sebegitu.
Sedangkan yang diperlukan hanyalah sedikit pemahaman dan lelaki sebenarnya dapat menjadikan hubungan dengan pasangannya sebagai `zon bebas leteran’ jika mereka mendengar dan memperbaiki. Tidakkah itu lebih baik daripada berterusan melabel wanita memang kuat membebel?
Dan benarkah hanya wanita sahaja suka membebel? Lelaki kalau membebel lagi teruk berbanding wanita.
Seorang kawan memberitahu saya, suaminya gemar berleter. Yang dileterkan adalah hal-hal kecil. Sehinggakan dia tak mahu mengadu apa-apa pada suaminya tak kira hal kerja atau anak-anak kerana tahu yang pasti dileteri atau dimarah selepas mendengar semuanya itu, dia juga. Bukan anak-anaknya atau bos atau kawannya di pejabat.
“Malaslah nak mengadu. Nanti aku yang kena bebel balik. Lelaki ini ada yang lebih suka memenangkan orang luar. Bab orang luar buat, semua baik. Isteri buat, semua tak kena,” katanya.
Seorang pakar hubungan dan terapi perkahwinan di Massachusetts, Amerika Syarikat, Dr. Karen Ruskin berkata, hubungan yang penuh dengan leteran bukan bermakna tidak bahagia.
“Berleter mungkin bermaksud isteri mengambil tugas pengurus rumah dengan baik dan lelaki boleh melabel apa saja permintaan dan arahan isteri sebagai mengomel. Wanita menolong lelaki hidup lebih lama sebenarnya,” katanya.
Tapi saya ada juga syak sesuatu. Bukan apa, lelaki ini agaknya suka dileteri. Kalau dia tidak mendengar suara wanita membebel dalam hidupnya, hari itu seolah-olahnya tidak sempurna. Tidak kiralah isteri, ibu, anak perempuan atau kawan perempuan. Sebab itu, dia sentiasa mencari ruang untuk dileteri bukan berusaha untuk menghentikannya.
Ini bukan leteran saya. Harap saya menjawab soalan lelaki berjersi Manchester United itu. Selamat menjadikan hidup ini `zon bebas leteran!’ – Mingguan Malaysia










