Hari penentuan Belanjawan 2021 - Utusan Malaysia

Hari penentuan Belanjawan 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Hari ini menjadi penentuan sama ada Belanjawan 2021 yang dibentangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) diluluskan atau sebaliknya.

Belanjawan yang akan diputuskan menerusi undi belah bahagian itu bakal memperlihatkan apa akan berlaku kepada kerajaan PN selepas ini, atau meneruskan agenda yang telah dirancang untuk mendepani cabaran 2021 melawan Covid-19 dan memulihkan semula ekonomi negara.

Jika mengikut sistem Parlimen Westminster, sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan, ia jelas menjatuhkan sesebuah kerajaan berikutan perbelanjaan untuk mengurus pembangunan sosio ekonomi dan segala yang dirancang semasa pembentangan lalu tidak dapat diteruskan.

Ketika banyak pemimpin parti-parti politik sama ada dalam kalangan PN sendiri mahupun pembangkang menuntut apa yang dianggap `demi kepentingan rakyat’ sebagai syarat menyokong Belanjawan ini, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin seolah-olah tersepit antara kekal dengan prinsip ataupun mengikut kemahuan mereka. 

Selain  berlaku pergeseran dalam kalangan pemimpin UMNO mengenai sokongan kepada Perdana Menteri,  beberapa pemimpin pembangkang seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut mengekalkan pendirian dalam menyatakan tuntutan mereka terhadap intipati Belanjawan 2021.

Pada masa ini terdapat kementerian yang masih lagi belum menggulung perbahasan di peringkat dasar, walaupun proses undian Belanjawan 2021 difahamkan kekal seperti biasa. 

Tarikh pengundian tersebut telah diubah sebanyak dua kali. Sebelum ini, tarikh undian sepatutnya diadakan semalam, namun, ditukar kepada hari ini. 

Sementara itu, sumber Utusan Malaysia berkata, jika tarikh undian ditunda sekali lagi, ia dilihat kerajaan ‘kurang yakin’ dengan ahli Dewan Rakyat yang mungkin tidak menyokong Belanjawan 2021 di peringkat dasar untuk diluluskan. 

Katanya, melihat kepada aturan mesyuarat Dewan Rakyat, terdapat sembilan lagi kementerian yang masih belum menggulung perbahasan. 

Menurutnya, masa yang diberikan untuk setiap kementerian pula adalah 20 minit dan waktu perbahasan juga dilanjutkan sehingga jam tiga petang. 

“Ini bermakna, jika ia mengikut prosedur yang ditetapkan, proses undian Belanjawan 2021 di peringkat dasar boleh diadakan seperti biasa dan hari ini adalah penentuan buat kerajaan Muhyiddin kekal sebagai pentadbir ataupun tidak,” katanya.

Penganalisis dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhammad Anwar Fahmi Hari Das Abdullah berkata, ketidaksepakatan ahli Parlimen menjelang proses undian Belanjawan 2021  jelas menampakkan sikap wakil rakyat yang tidak meletakkan kepentingan rakyat berbanding kuasa dan pengaruh mereka dalam politik.

Katanya, perkara itu membuang masa dan menyukarkan keadaan khususnya dalam usaha mahu mengeluarkan Malaysia daripada kelembapan ekonomi yang menekan rakyat akibat Covid-19.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, kata beliau, sekiranya Belanjawan 2021 ditolak, ia juga pengertian yang jelas bahawa kepemimpinan Perikatan Nasional (PN) telah dipertikai secara terang-terangan.

“Ini kerja sia-sia dan buang masa, semakin hari beban rakyat makin menggunung dan istana serta pelabur juga kian resah serta bercelaru dengan permainan ini yang telah menyusahkan pelbagai pihak.

“Malah, dari satu sudut lagi pihak yang menyokong turut bimbang sekiranya peruntukan tidak dapat diagihkan segera kepada rakyat, maka isu kuasa, kedudukan dan pengaruh mereka yang telah peroleh pelbagai jawatan juga terancam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin menyatakan pendirian tegas tidak akan memberi sokongan sama sekali terhadap Belanjawan 2021.

Beliau berkata, pendirian tersebut dibuat  walaupun ada pindaan termasuk  peruntukan  Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) berjumlah lebih RM 80 juta yang diberikan sebelum ini.

“Walaupun ada pindaan termasuk jumlah peruntukan untuk Jasa yang sebelum ini diberikan  lebih RM80 juta, saya tidak akan menyokong.

“Sepatutnya perlu ditambah dana Tabung Wang Covid-19 lebih-lebih lagi dengan peningkatan yang berlaku sekarang,” katanya.

Dalam pada itu Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil  mendakwa ada pemimpin parti itu  mengambil pendekatan tunggu dan lihat sehingga Menteri Kewangan, Tengku Datuk Serii Zafrul Tengku Abdul Aziz selesai menggulung Perbahasan Belanjawan di Peringkat Dasar.

Beliau turut mengambil pendekatan sama bagi meneliti andai terdapatnya sebarang pindaan dalam intipati Belanjawan 2021.

Menurutnya,  antara isu yang menjadi perhatian dalam kalangan pemimpin PKR  adalah peruntukan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) berjumlah lebih RM80 juta.

Malah, Fahmi turut membayangkan undian Belanjawan 2021 berkemungkinan ditangguh buat kali ketiga.

“Tarikh undian dah diubah dua kali sebelum bermula sesi  (Dewan Rakyat).  Undian 25 November, ditunda kepada 26. Jadi kalau ditunda sekali lagi, ini bermakna kerajaan tak dapat nak  urusan mesyuarat  dengan efektif.

“ Semalam  kita sudah panjangkan sampai pukul tiga , kalau sedia lebih awal sebenarnya boleh buat (lanjut sehingga pukul tiga) Antara nak atau tidak,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN