SELESAI menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Ameng mengambil keputusan nekad berkelana ke Singapura. Niatnya ingin bekerja mencari wang poket sendiri dan membeli alat muzik idamannya sebuah gitar.
Setelah impian termakbul dan puas menjadi anak rantau, dia kembali pulang ke kampung kelahirannya di Besut,Terengganu untuk meneruskan perjuangan muziknya.
Idea seterusnya adalah ke Kuala Lumpur. Namun kesemua rakannya tidak yakin dan bersedia untuk berhijrah, jadi dia mengambil keputusan merantau seorang diri.
Berbekalkan gitar dan wang saku RM800, Ameng ketika itu berusia 21 tahun, akhirnya sampai ke Kuala Lumpur pada 1988. Kedatangannya disambut oleh rakan yang menunggu di Hentian Puduraya, namun masalah yang dihadapi ketika itu adalah tempat tinggal.
Rakannya belum bersedia untuk membawa dia tinggal bersama keluarganya atas alasan penampilannya ketika itu agak kurang menyenangkan kerana berseluar ketat dan berambut panjang.
Rakannya menumpangkannya di rumah seorang teman di Setiawangsa. Di situlah dia mula membina kehidupan, mencari tapak kukuh untuk terus bernafas di kota yang penuh sejuta cabaran.
Bersama Mingguan Malaysia, empunya nama sebenar Wan Aminuddin Wan Ismail, 51, ini berkongsi kisah suka dukanya. Pengalaman pahit getirnya sebelum berjaya bergelar anak seni.
“Ketika itu saya membantu rakan bekerja di bengkel kereta miliknya. Disebabkan saya tak mahir berkenaan enjin, tugas saya hanyalah basuh kereta pelanggan dan menjual buah potong di situ. Selain itu, macam-macam lagi kerja sampingan saya buat termasuklah bawa van berisi bahan pembinaan seperti batang paip dan sebagainya.
“Suatu hari saya terbaca iklan mencari bakat baru di akhbar. Nampaknya inilah peluang yang ditunggu-tunggu selama ini. Jadi saya pun pergi ke lokasi tersebut yang bertempat di Sound Dimension, Kampung Baru. Saya ingat lagi individu yang audition saya ketika itu, antaranya, Rahim Othman, Harun BPR, A. Ali dan arwah Megat.
“Waktu audition saya nyanyi lagu Iklim, Suci Dalam Debu. Masa itu Rahim Othman sergah saya, ‘kau nyanyi lagu lain boleh tak? Beratus yang datang ini semua nyanyi lagu Iklim, sampai nak muntah aku dengar lagu ni, kau nyanyi lagu yang orang jarang bawa’, katanya. Akhirnya saya nyanyi lagu Istana Menanti dendangan Rahim Maarof,” ujarnya sambil ketawa.
Menurut Ameng dalam 300 peserta yang datang audition, dia antara 10 orang berjaya disenarai pendek. Namun ketika itu dia tidak diberi kata putus. Mereka hanya minta dia menunggu sehingga dihubungi kelak. Sedikit sebanyak dia berasa kecewa, apatah lagi semangatnya untuk menjadi penyanyi ketika itu berkobar-kobar.
“Suatu malam ketika sedang bersiar di Dataran Merdeka, saya terserempak dengan rakan sekampung. Iskandar namanya. Katanya, dia sudah ada band bernama Spring dan akan merakamkan album. Hendak jadikan cerita dia mempelawa saya untuk menggantikan penyanyinya.
“Menurut Iskandar, penyanyi mereka ketika itu tidak boleh bawa tone suara yang diinginkan syarikat rakaman, kerana dia berjiwa heavy metal. Bayangkan lagu slow seperti Sejiwa pun dia nak ‘tarik’ dan bawa macam lagu heavy metal.
“Iskandar hantar saya balik ke rumah menaiki keretanya. Katanya, dia nak tahu di mana saya tinggal supaya senang nak cari saya. Memang betul. Keesokannya sebelum bangun tidur lagi dia dah terpacul di rumah saya. Hari itu juga dia bawa saya ke studio CBS di Taman Maluri untuk audition,” katanya
Audition di studio CBS agak rumit berbanding pengalaman sebelumnya. Ameng terasa dirinya seolah dibuli. Dia diminta menyanyikan lagu Fantasia Bulan Madu dendangan Search yang keynya dinaikkan tiga kali ganda. Namun disebabkan ketika itu usianya masih muda dan berstamina tinggi jadi tiada masalah untuknya. membawakan lagu tersebut sehingga menimbulkan rasa kagum mereka yang mendengarnya.
‘Sampai Hati’ selamatkan karier
“Hari itu juga mereka bersetuju menawarkan saya menjadi penyanyi untuk Spring. Pada mulanya saya agak keberatan untuk menerima tawaran tersebut, tetapi ketika mereka memberi wang RM5,000 sebagai tanda persetujuan, terus saya lupa diri. Maklumlah waktu itu nilai tersebut cukup besar buat saya yang masih hidup tanpa arah tuju.”
“Proses rakaman album pertama cukup rumit kerana saya terpaksa menyanyikan lagu orang lain. Saya berasa cukup tidak selesa apatah lagi terpaksa mengambil masa selama tiga hari untuk merakamkan setiap lagu. Album pertama Spring mengambil masa hampir tiga bulan juga untuk disiapkan.”
“Kami hampir putus asa apabila album tersebut hanya mampu terjual sebanyak 25,000 unit. Show juga kurang sehinggakan ada kalanya kami hanya dapat bayaran RM50 seorang untuk setiap persembahan pentas. Waktu promosi kerusi penonton kosong, show di funfair pun tak ada orang datang tengok.
“Waktu itu hidup kami memang suffer. Nak bayar sewa rumah pun tiada duit. Bayangkan kami makan nasi hanya berlaukkan garam dan ada ketikanya sebungkus Maggi kami kongsi makan lima orang,” katanya.
Akhirnya Ameng dan rakan-rakan mencapai kata sepakat. Mereka akan bertahan untuk satu album lagi. Jika masih tidak mendapat sambutan, Spring dibubarkan dan masing-masing akan membawa haluan sendiri.
Namun segalanya telah tertulis. Siapa sangka lagu Sampai Hati ciptaan M.Nasir dan lirik oleh Mama Juwie menyelamatkan karier mereka.
Lagu Sampai Hati menjadi hits dan berjaya menjuarai carta radio serata negeri dan berjaya lolos ke peringkat akhir Juara Lagu pada 1993.
Sejak itu Spring bukan lagi kumpulan picisan, malah Ameng semakin dikenali dan sering menjadi penghias kulit majalah hiburan dan akhbar kerana popularitinya.
“Rahsia menjadi penyanyi yang saya simpan daripada keluarga selama ini akhirnya terbongkar jua. Kakak saya membeli majalah dan tunjuk kepada keluarga. Ayah memang tak suka saya jadi penyanyi kerana baginya penyanyi banyak terpalit pelbagai cerita negatif.
“Masa saya balik kampung ayah langsung tidak mahu bercakap dengan saya. Setiap kali saya ingin berbual dengannya, dia akan menjauhkan diri dan memalingkan muka. Saya tahu dia merajuk.
“Dua tahun ayah tidak mahu bercakap dengan saya, sehinggalah selepas terbitnya album kedua, Bourgenvilla. Akhirnya ayah akur dan mula merestui kerjaya saya. Dia mula bangga dengan saya. Setiap kali balik kampung dia akan ajak saya ke kedai makan. Ketika itulah dia akan memperkenalkan saya dengan rakan-rakannya, inilah anak aku penyanyi yang selalu keluar di TV itu,” cerita Ameng. –Pancaindera










