“Cukup! Saya tak sanggup tengok anak-anak terseksa’’ - Vida - Utusan Malaysia

“Cukup! Saya tak sanggup tengok anak-anak terseksa’’ – Vida

Tangkap layar Instagram Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin atau lebih dikenali sebagai Cik B (kiri) bersama ibunya, Datuk Seri Vida.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAPAN tahun ikatan dipertahankan, namun tuhan sahaja yang tahu betapa hati meronta mahu dilepaskan. Hidup umpama bernafas dalam lumpur, perit di hati tiada berpenghujung. Itu luahan dan dakwaan wanita besi ini.
Tidak pernah sekali menyalahkan takdir, dia tahu ujian datang bukan untuk menjatuhkan. Bangkit, itu pesannya pada diri sendiri. Bagi Datuk Seri Vida, anak-anak adalah kekuatan hidup.
Berdepan kontroversi apabila bekas suaminya mendakwa dia dihalang untuk bertemu anak-anak, Vida atau nama sebenarnya, Dr. Hasmiza Othman menafikannya. Dia bukan jenis manusia pentingkan diri, menolak tepi hak si ayah.
Namun dakwanya, anak-anak, Edlynn Zamilleen, 15, atau Cik B dan Muhammad Eric Zaquan,13, atau lebih dikenali sebagai Kacak yang tidak mahu. Atas sebab apa sekalipun, mereka takut dan trauma.
Secara eksklusif kepada Pancaindera, Vida meluahkan sebab mengapa. ‘Kesakitan’ yang dipendam kini dihurai satu persatu. Bukan mahu menagih simpati namun, masyarakat perlu tahu di sebalik senyumannya ada tangisan menemani diri.

Pancaindera: Apa yang berlaku? Benarkah Vida menghalang anak-anak, Cik B dan Kacak untuk bertemu ayah mereka sendiri? Ada yang gelar Vida kejam, pentingkan diri sendiri.
Vida: Orang boleh cakap apa sahaja. Saya sudah biasa. Tetapi keselamatan anak-anak adalah keutamaan. Apa pun jadi, mereka nyawa, hidup mati saya. Bukan saya halang, tetapi mereka sendiri tidak mahu.

Mengapa mereka tidak mahu, seolah-oleh takut dengan ayah sendiri? Adakah mereka trauma dengan pengalaman lalu?
Orang mungkin nampak kami bahagia, namun sebenarnya kami hidup dalam ketakutan. Apa yang berlaku antara saya dan bekas suami tidak seharusnya dicerita. Namun, trauma masih ada dalam diri saya dan anak-anak.
Saya seperti mati hidup semula. Cukuplah lapan tahun. Saya tidak mahu berdendam. Kasihan dekat dia tetapi anak-anak sendiri takut. Saya sendiri pun berat hati untuk lepaskan mereka.

Seperti ‘berat’ untuk Vida ceritakan ini. Apa yang membuatkan anak-anak takut? Malah, Vida sendiri seperti trauma dengan kehidupan dahulu bersama bekas suami. Boleh kongsikan?
Bukan sebab harta saya takut untuk anak-anak bertemu ayah mereka. Tetapi saya takut bahaya datang kepada mereka. Cukuplah apa yang saya lalui dengan dia (bekas suami). Anak-anak tak perlu rasa sama.
Beritahu saya, hati ibu mana yang sanggup lepaskan anak-anak. Jangan guna alasan nenek rindu atau apa-apa, itu boleh ‘menyeksa’ jiwa anak-anak.

Bagaimana respons anak-anak bila tahu ayah mereka memfailkan tuntutan hadhanah?
Mereka takut. Sebelum ini, dua kali Kacak sesak nafas dan tidak boleh tidur kerana takut. Dia anxiety kalau kita sebut nama ayah.
Mereka masih kecil. Hati mereka sangat fragile, rapuh. Ketakutan dan trauma mereka dipendam dalam-dalam. Akhirnya, mereka sendiri yang ‘sakit’. Saya tak sanggup tengok anak-anak terseksa begitu.

Orang nampak Vida seperti tiada sesalan dalam hidup, bahagia sahaja. Tetapi dalam taman hati, ada duri yang menyakiti.
Saya tak pernah salahkan takdir atas apa yang berlaku dalam hidup. Tuhan itu maha adil. Saya kasihan dengan dia (bekas suami). Sebab itu saya bantu beri duit setiap bulan. Tetapi untuk ‘melepaskan’ anak-anak, mungkin tidak. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN