Couple yang tak pernah tua - Utusan Malaysia

Couple yang tak pernah tua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUKAR untuk cari rakan sebaya saya yang tidak kenal mana-mana lagu Couple. Walaupun sesetengahnya tidak begitu meneroka scene independen, sekurang-kurangnya mereka masih boleh cam lagu Pergi atau Tentang Dia.

Begitulah kuatnya pengaruh dan keistimewaan kugiran yang dianggotai Aidil (vokal/gitar), Ariana (gitar), Ezzart (bass) dan Shahrin (dram) itu.
Jika diikutkan, tiada apa-apa yang menarik tentang kugiran ini dari segi komersial. Tiada ‘poster boy’ untuk menarik peminat wanita, tiada penyanyi dengan vokal nada tinggi; tetapi jenama mereka kuat.

Mungkin nama mereka tidak sebesar Hujan, Meet Uncle Hussein atau Bunkface, tapi sekurang-kurangnya Aidil pernah menang rancangan Dapur Selebriti Knorr yang dihoskan oleh Sheila Rusly.
Itu hanya gurauan. Walaupun betul Aidil pernah menjadi pemenang mingguan rancangan itu bersama bekas pemain bass Couple, Awang Masrin, itu bukanlah pencapaian terhebat Couple.

Banyak lagi yang boleh dibanggakan termasuk memasuki senarai 25 kugiran Myspace terbaik majalah Rolling Stone pada 2006, menjadi salah satu lagu runut bunyi filem Super arahan James Gunn pada 2010 dan diiktiraf Kugiran Warisan Ipoh pada 2018.

Lebih mengujakan, Couple belum berhenti berkarya. Usia kugiran ini sudah suku abad tetapi masih banyak yang mahu diberikan kepada peminat.

Tahun depan, jika diizinkan Tuhan, Couple akan tampil dengan album baharu. Sepatutnya diterbitkan tahun ini namun kerana pandemik, pelancarannya terpaksa ditangguhkan. Pun begitu, mereka sudah melancarkan muzik video untuk single pertama, Malam Minggu pada 29 Ogos lalu.

Jika diperhati, ada yang berbeza pada Malam Minggu. Bunyi dan karektornya masih sama, tetapi bunyinya disadur perisa zaman kini.
Itu baru sedikit kerana ketika berpeluang lepak bersama Aidil selama lebih dua jam tempoh hari, saya diperdengarkan sedutan dua lagi lagu mereka dalam album tersebut.

Salah satu lagu yang akan ditampilkan dalam album tersebut adalah kolaborasi mereka bersama Sekumpulan Orang Gila (SOG). Bayangkan hardcore bertemu pop; vokal Aidil bertemu jeritan Riko. Ada keterujaan dengan potensi inzal.

Bagi Aidil, album yang diperam selama enam tahun itu terhasil daripada pelbagai eksperimentasi muzik dan teknologi. Ia akan memberi pengalaman baharu buat peminat-peminat Couple.

Album itu pastinya ditunggu-tunggu para peminat kerana Couple bijak mencipta momentum, walaupun mungkin tidak disengajakan.

Menurut Aidil, mereka merancang untuk melancarkan empat sehingga enam single dalam album itu dalam bentuk video muzik sebelum dilancarkan. Setakat ini, video muzik Malam Minggu arahan Ze daripada Spooky Wet Dreams telah dilancarkan dan dalam masa terdekat, satu lagi video muzik arahan Mohd. Jayzuan pula akan menemui peminat.

Dalam masa sama, Couple baru sahaja melancarkan album terbitan semula Top Of The Pop (TOTP) dalam bentuk cakera padat selepas melancarkan versi vinil album itu pada Jun lalu.

Peminat juga pastinya teruja apabila menyaksikan kugiran itu membuat persembahan penutup ketika Pentas Akhir Anugerah Lagu Indie (ALI) awal bulan lalu.

Kesungguhan Couple untuk terus menghiasi scene independen tempatan selayaknya dipuji. Tiada siapa mampu memadam jejak yang telah ditinggalkan dahulu, tapi mereka masih belum mahu berhenti.

Lebih baik lagi, Aidil sendiri dikenali sebagai seorang ikon yang banyak mempromosikan kugiran-kugiran baharu. Paling jelas apabila Couple menjalankan projek TOTP Cover yang sudah memasuki volum kedua.

“Seronok tengok scene sekarang sebab teknologi bantu dedahkan kugiran baharu dengan macam-macam gaya muzik. Rakaman pun makin baik. Semua ada kemahiran teknikal sendiri,” jelas Aidil mengakhiri bicara. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN