KUALA LUMPUR: Seluruh rakyat Malaysia pastinya menarik nafas lega selepas diumumkan Belanjawan 2021 berjumlah RM322.5 bilion yang terbesar pernah diperuntukkan kerajaan setakat ini.
Daripada penjawat awam, pekerja swasta, petani, nelayan, belia, warga emas sehinggalah banduan di penjara, kesemuanya menerima manfaat daripada belanjawan yang diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz petang semalam.
Sebanyak RM236.5 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus, RM69 bilion bagi perbelanjaan pembangunan dan RM17 bilion pula di bawah Kumpulan Wang Covid-19.
Sejumlah RM2 bilion lagi turut diperuntukkan untuk simpanan luar jangka.
Apa yang lebih mengujakan, belanjawan dengan tema ‘Teguh Kita, Menang Bersama’ itu turut mengambil kira input-input cukup ‘populis’ yang diutarakan orang politik antaranya pengeluaran akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lanjutan moratorium meskipun tidak diambil secara bulat-bulat.
Setelah mendengar keluh-kesah rakyat berhubung dua perkara itu, kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin nampaknya berusaha sebaik mungkin dengan mengumumkan Bantuan Bayaran Bersasar kepada peminjam kategori B40 yang merupakan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).
Tengku Zafrul berkata, ia juga melibatkan perusahaan mikro dengan jumlah pinjaman yang diluluskan sehingga RM150,000.
“Peminjam dalam kategori ini akan diberi pilihan iaitu opsyen satu, menangguhkan ansuran bulanan selama tiga bulan.
“Atau opsyen dua, pengurangan ansuran bulanan sebanyak 50 peratus selama enam bulan,” katanya ketika sesi pembentangan di Dewan Rakyat yang dihadiri lebih 80 ahli Parlimen.
Belanjawan 2021 juga membenarkan pengeluaran daripada akaun 1 KWSP namun ia tidak secara sekali gus tetapi mengguna pakai kaedah i-Lestari seperti sebelum ini.
BSH pula ditransformasikan menjadi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan dijangka memanfaatkan 8.1 juta orang dengan peruntukan RM6.5 bilion berbanding hanya RM5 bilion sebelum ini.
Kumpulan petani, peladang dan nelayan juga dipastikan terus dibela antaranya melalui peningkatan sekali ganda Insentif Pengeluaran Getah, subsidi baja padi bukit yang diperkenal semula dan kenaikan elaun sara hidup nelayan daripada RM250 kepada RM300 sebulan.
Bercakap mengenai banduan, Kabinet Perikatan Nasional (PN) nampaknya berfikiran panjang dalam isu keharmonian sosial.
Untuk menggalakkan integrasi golongan itu dalam masyarakat, kerajaan melanjutkan potongan cukai tambahan sehingga tahun taksiran 2025 kepada majikan yang menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka.
Langkah itu dilihat cukup ‘luar kotak’ dalam mengawal peningkatan kes jenayah, di samping memberikan sokongan moral kepada banduan untuk memulakan kehidupan baharu.
Cukup dengan khabar yang indah-indah, satu-satunya pengumuman yang mungkin menimbulkan perasaan ‘kurang senang’ adalah pengenalan cukai kepada vape dan cecairnya.
Kerajaan memutuskan duti eksais pada kadar ad valorem 10 peratus ke atas semua jenis peranti rokok elektronik dan bukan elektronik termasuk vape berkuat kuasa 1 Januari 2021.
Cecairnya pula akan dikenakan cukai pada kadar 40 sen untuk setiap mililiter.
Walau apapun inisiatif yang diumumkan, ia tidak akan menjadi kenyataan sekiranya tidak mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.
Pemimpin politik tidak sepatutnya mengambil langkah sumbang dengan memperjudikan kehidupan rakyat yang ditekan pandemik Covid-19 semata-mata kerana kehendak peribadi.
Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini perlu diberikan keutamaan agar Belanjawan 2021 ini menjadi lambang perpaduan yang merentasi fahaman politik demi kebaikan semua pihak. – UTUSAN ONLINE










