Bekas CEO, isteri didakwa - Utusan Malaysia

Bekas CEO, isteri didakwa

LEE Son Hong (tengah) hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam, semalam bagi menghadapi tuduhan membuat tuntutan palsu dan pecah amanah melibatkan RM145.4 juta tujuh tahun lalu. – UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pengeluar sarung tangan getah, WRP Asia Pasific Sdn. Bhd. didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas 11 pertuduhan membuat tuntutan palsu dan pecah amanah jenayah bernilai RM145.4 juta tujuh tahun lalu.

Turut didakwa isterinya atas tuduhan bersubahat melibatkan RM108 juta bagi tempoh sama.

Kedua-dua tertuduh, Datuk Lee Son Hong dan Datin Too Sooi Keng ma­sing-masing berusia 63 me­ngaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, Son Hong yang kini masih pengarah syarikat tersebut didakwa atas tiga pertuduhan iaitu membuat tuntutan palsu melibatkan jumlah RM8.4 juta atas nama Tower Success Group Ltd. berkaitan pembayaran bagi pembekalan mesin membuat sarung tangan yang tidak pernah dibuat antara 27 Mac hingga 22 Disember 2015.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (Akta 694) yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak me­lebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang le­bih tinggi, jika sabit bersalah.

Bapa kepada dua anak itu turut didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dengan lapan pertuduhan pecah ama­nah jenayah lebih RM137 juta antara 12 Disember 2013 hingga 18 Januari 2018.

Jika sabit bersalah, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun, sebat dan denda.

Sooi Keng yang juga salah seorang pengarah syarikat tersebut didakwa atas tujuh pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah membabitkan dana syarikat RM108 juta antara 12 Disember 2013 hingga 18 Januari 2018.

Dalam pertuduhan yang dibacakan berasingan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 409 kanun yang sama yang memperuntukkan penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit bersalah.

Pasangan itu didakwa mela­kukan semua kesalahan itu di pejabat syarikat tersebut di kawasan perusahaan Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang dekat sini.

Hakim Rozilah menetapkan kedua-dua mereka masing-ma­sing diikat jamin RM1.5 juta dan membenarkan syarat tambahan pendakwaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN