KUALA LUMPUR: Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah, Kubang Pasu, Pokok Sena dan Kota Setar yang menempatkan 118 orang mangsa banjir daripada 32 keluarga sejak kelmarin ditutup pada pukul 2 petang semalam berikutan keadaan yang semakin baik.
Penyelaras Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, semua PPS ditutup secara rasmi dan mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
“Mangsa dibenarkan pulang selepas lokasi kawasan banjir kini semakin baik dan selamat,” katanya di sini semalam.
Di Terengganu, sebahagian mangsa banjir di negeri ini dibenarkan pulang ke rumah dan hanya 427 yang masih berada di PPS.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman berkata, setakat pukul 4 petang empat PPS ditutup termasuk satu di Setiu sekali gus menjadikan hanya 14 yang beroperasi di empat daerah.
“Buat masa ini, seramai 227 mangsa ditempatkan di enam PPS di Kuala Nerus manakala Dungun (87), Marang (80) dan Kuala Terengganu (33),” katanya di sini semalam.
Menurut Che Adam, paras air di sungai-sungai utama negeri itu turut mencatatkan trend penurunan.
Di Melaka pula banjir semakin pulih dengan jumlah mangsa yang berada di PPS seramai 96 orang sehingga pukul 3 petang semalam.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali berkata, seramai 61 lagi mangsa banjir di negeri ini dibenarkan pulang.
“Keadaan banjir di negeri ini terutamanya di Jasin semakin pulih, namun kita tetap mengambil langkah berwaspada memantau kawasan-kawasan terlibat,” katanya.
Di Perak, jumlah mangsa banjir masih tidak berubah dengan 378 orang ditempatkan empat buah PPS.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri Perak berkata, mangsa melibatkan 121 buah keluarga.
Di Selangor, seramai 30 penduduk dipindahkan ke dua PPS di Kuala Selangor dan Sabak Bernam.
Mereka masing-masing ditempatkan di PPS Dewan Seri Sekinchan dan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Maharajalela.
Ia melibatkan 20 penduduk Sungai Labu, Taman Ria dan Taman Aman Jaya di Sekinchan manakala 10 lagi penduduk Jalan Rezab Derahman, Kuala Selangor.
Mangsa yang dipindahkan terdiri daripada lima keluarga termasuk 17 kanak-kanak dan seorang wanita warga emas. – UTUSAN ONLINE










