‘Baiki hari ini, lubang baharu muncul esok’  - Utusan Malaysia

‘Baiki hari ini, lubang baharu muncul esok’ 

SURINA SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: “Hari ini dibaiki, esok lubang baharu pula muncul. Pelbagai modus operandi digunakan penyeludup yang tidak pernah serik”.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, tambah mengecewakan, laluan sempadan yang menjadi lokasi anggota Pasukan Gerakan Am, Mendiang Sarjan Baharuddin Ramli terbunuh dalam pertempuran dengan penyeludup kelmarin hanya dipisahkan pagar dua lapis dan pagar separuh batu. 

Dengan kekurangan itu, katanya, cukup mudah bagi penyeludup dari Thailand menyelinap masuk dengan hanya memotong pagar di laluan keselamatan itu.

“Aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan khususnya di Padang Besar bukan perkara baharu, namun tindakan ganas sekumpulan penyeludup dari Thailand sehingga menyebabkan seorang anggota PGA terkorban dalam kejadian berbalas tembakan, cukup meruntun jiwa.

“Laluan keselamatan di sempadan Perlis merangkumi jarak 97 kilometer bermula dari Padang Besar, Wang Kelian dan Kuala Perlis. Di Padang Besar iaitu lokasi yang menjadi tumpuan aktiviti penyeludupan itu pula jaraknya dianggarkan kira-kira 60 kilometer.

“Kawasan laluan tersebut merangkumi Pos Charlie 32 hingga PB 14 sejauh 32 kilometer, PB 14 hingga BKC 7 (empat kilometer) dan BKC 7 hingga TS 9 (24.8 kilometer),” katanya.

Selain tembok sempadan (TS9) lokasi kejadian pertempuran membabitkan penyeludup dengan anggota PGA tersebut, beberapa lorong tikus lain yang cukup aktif yang dikesan adalah di Charlie 21, 23 dan PB 29 di kawasan Kilang Gula Chuping, Lubuk Sireh, KTM, Kampung Kolam, Kampung Melayu, Ladang Karim, BKC Tujuh dan Simpang Lima.

Surina berkata, kawasan keselamatan yang luas dan merangkumi kawasan belukar serta hutan itu perlu diperkemaskan bagi mengekang aktiviti penyeludupan tersebut.

Katanya, tindakan drastik perlu dilakukan segera khususnya dalam usaha membaik pulih pintu pagar sempadan negara yang kebanyakannya sudah rosak.

Selain itu kata Surina, kelengkapan serta peralatan sesuai anggota yang menjaga sempadan ini juga perlu diberi perhatian termasuk kemudahan dron bagi memantau pergerakan penyeludup.

“Kawasan sempadan kita merangkumi belukar dan hutan yang luas sekali gus agak mustahil untuk kita mengawal sepenuhnya. Berbeza di kawasan Thailand yang agak lapang sekali gus memudahkan pasukan keselamatan di sana dalam menjaga sempadan mereka. Perkara ini, sukar dikawal sepenuhnya, bila-bila masa boleh berlaku (penyeludupan),” katanya.

Surina menambah, aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan khususnya di Padang Besar bukan perkara baharu, namun, tindakan ganas sekumpulan penyeludup dari Thailand sehingga menyebabkan seorang anggota PGA terkorban dalam kejadian berbalas tembakan, cukup meruntun jiwa.

Anggota batalion PGA yang bertukar setiap bulan itu sentiasa memainkan peranan yang cukup baik dalam menjaga sempadan negara daripada aktiviti jenayah rentas sempadan.

Hakikatnya aktiviti penyeludupan tidak akan selesai jika kerajaan tidak mengambil langkah membina tembok sempadan atau sekurang-kurangnya menaik taraf laluan tersebut dalam tempoh segera di samping menyediakan kelengkapan terbaik kepada anggota yang menjaga kawasan sempadan.

Dalam kejadian kelmarin, Sarjan Baharuddin gugur manakala rakannya, Koperal Norihan Tari, 39, yang parah ketika berdepan dengan lebih 13 penyeludup itu adalah wira negara.

Mereka sedikit pun tidak gentar berhadapan musuh meskipun sedar risiko kehilangan nyawa.

Pengorbanan Baharuddin bersama anggota lain dalam mempertahankan negara itu sangat dihargai, namun, kita tidak mahu episod duka itu berulang. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN