Awal 90-an, penghibur sensasi Liena Hangat, antara artis yang tidak lekang daripada kontroversi. Kisah peribadi serta imej seksinya seringkali dijadikan topik bualan peminat. Tidak dinafikan artis ini memang cukup ‘berani’, sehinggakan dia tidak ambil pusing dengan setiap kritikan. Baginya apa yang dibuat adalah menurut kehendak hatinya.
Namun kini segalanya sudah berubah, dengan kata lain dia sudah ‘cuci tangan’. Pengalaman lalu dijadikan sempadan untuknya terus menginsafi dan bermuhasabah dalam menuntut kehidupan yang lebih tenang di hari mendatang.
Menurut anak kelahiran Johor Bahru ini, dia rasa amat bersyukur kerana Allah SWT membuka pintu hatinya untuk berubah.
Bersama Mingguan Malaysia, empunya nama Nor Azlina Abdul Rahman, 47, yang pernah popular dengan lagu Ceria Dalam Gundah dan Gara-Gara ini berkongsi cerita suka dukanya sepanjang bergelar artis.
“Selepas tamat sekolah saya dilamar sebagai penyanyi oleh kumpulan Secret yang ketika itu aktif bermain di kelab malam dan lounge. Ayah bising dan kurang bersetuju, alasannya belum ada keturunan kami yang jadi penyanyi kelab, namun saya cuba yakinkan mereka dan berjanji akan jaga diri, maruah serta tidak akan memalukan mereka, lagipun saya beritahu ayah kalau tolak tawaran ini, nak buat kerja apa lagi? Saya bukannya belajar bagus sangat pun.
“Anggota kumpulan Secret datang minta izin dengan ayah. Mereka janji akan jaga saya. Akhirnya ayah mengalah dan izinkan. Tapi sebelum itu ayah sempat pesan, ‘kalau kau malukan kami sekeluarga, kau jangan balik dah.
“Imej seksi memang sinonim dengan saya. Sejak kecil dah biasa pakai seluar pendek, jadi bila mula kerja sebagai penyanyi kelab lagi bertambah imej seksi. Rambut pun macam-macam warna, sekejap perang, sekejap merah, sekejap hijau,” katanya sambil ketawa.
Menurutnya sebagai penyanyi, dia diberi gaji permulaan sebanyak RM900 dan seterusnya mencecah RM1,500. Walaupun pendapatannya agak mewah namun dia selalu kesempitan wang kerana penyanyi kelab terpaksa mengeluarkan belanja yang banyak.
“Baju baru sentiasa kena beli. Takkan nak pakai baju sama setiap kali show. Itu tak termasuk aksesori dan keperluan lain seperti mekap dan sebagainya. Jadi, duit memang tak pernah cukup. Saya pernah tak makan kerana duit cuma ada RM3 dalam poket. Namun saya tak pernah minta pada keluarga.
“Kalau balik kampung memang sentiasa `tadah telinga’. Saudara mara semua pakat perli. Ayah pula tak habis-habis nasihat dan pesan kalau menyanyi jangan sesekali beri lelaki datang rapat-rapat dan ambil kesempatan. Hampir lima tahun juga saya berhijrah dari satu negeri ke satu negeri mencari rezeki. Sehinggalah pada satu hari ketika saya mengadakan persembahan di sebuah kelab di Kuala Terengganu. Azam Dungun menonton persembahan saya di situ,” katanya.
Menurut Liena di situlah mereka mula berkenalan. Azam Dungun memberitahu suaranya cukup unik dan boleh menjadi artis rakaman.
Lantas dia memberikan satu lagu kepadanya dan merakamkan lagu tersebut di studio Azam Dungun sebelum demo tersebut kemudiannya dihantar ke syarikat rakaman di Kuala Lumpur.
“Akhirnya saya mendapat panggilan daripada wakil Sony Music. Dia suruh saya datang ke pejabat dan interview serba sedikit. Waktu itu, saya belum mendapat kata putus daripada mereka sehinggalah pada suatu hari Azam Dungun menghubungi saya. Pihak Sony Music bersetuju mengambil saya sebagai artis rakaman mereka.”
“Berita tersebut ibarat bulan jatuh ke riba. Apatah lagi saya dapat berita itu pada tarikh hari jadi sendiri. Ibaratnya itu adalah hadiah hari lahir yang cukup berharga buat saya ketika itu. Emak orang pertama menangis ketika saya sampaikan berita itu.
“Album pertama saya mendapat sambutan menggalakkan. Keluarga bangga bila saya sudah bergelar artis rakaman. Saudara mara yang dahulunya mengeji dan mengutuk saya sudah datang memuji,” ujarnya.
Kata Liena, dia bukanlah antara artis popular di syarikat rakamannya ketika itu jika dibandingkan artis lain. Namun sikapnya yang rajin mencari peluang membuatkan dia tidak pernah ketandusan persembahan, sehinggakan adakalanya dalam sehari dia mampu mendapat sehingga empat ke lima tawaran pentas.
Sabar melayan peminat
“Melayan kerenah peminat juga perlukan kesabaran. Saya pernah diganggu seorang peminat lelaki yang psiko. Setiap minggu dia akan hantar surat berisi air mani pada saya, sehinggakan terpaksa buat laporan polis. Itu belum campur peminat lesbian lagi, pendek kata macam-macam perangailah saya jumpa.”
“Sekian lama menjalani kehidupan yang seakan tiada arah, akhirnya suatu hari saya terfikir sampai bila mahu hidup begini. Fikirkan duniawi sehingga lupa akhirat. Saya nekad berubah. Akhirnya saya daftar di sebuah kelas kerohanian ESQ 165. Alhamdulilllah, di situlah segalanya bermula. Perlahan-lahan saya cuba memperbaiki diri, meninggalkan apa yang dilarang agama.
“Saya mula mengenakan hijab pada 21 Ogos 2009 dan menukar imej daripada seorang penyanyi seksi kepada seorang muslimah. Walaupun pulang dari Mekah saya masih menyanyi tetapi dengan beberapa syarat saya tetapkan, antaranya tidak mahu ada arak disajikan dalam setiap venue persembahan dan saya akan buat persembahan selepas selesai solat wajib.
“Alhamdulillah ramai penganjur memahami. Jujurnya tiada istilah bersara dalam kamus hidup saya. Namun jika ditakdirkan saya tiada tempat lagi dalam industri, saya terima dengan hati terbuka. Bagi saya rezeki Allah itu luas dan ada di mana-mana. Mungkin Allah SWT akan recanakan sesuatu yang lebih baik buat saya selepas ini,” katanya mengakhiri perbualan. – Khabar Legenda, Mingguan Malaysia.










