KUALA LUMPUR: Sindiket pengedaran dadah kini dikesan memberi dadah secara percuma kepada golongan pelajar dipercayai bagi merekrut penagih baharu demi mengaut keuntungan hasil jualan bahan larangan tersebut.
Itu modus operandi dikesan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melibatkan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, kegiatan itu terbongkar ketika pihaknya melakukan ujian air kencing di sekolah dan mendapati ada dalam kalangan pelajar yang positif dadah.
Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati pada mulanya dadah itu diberikan secara percuma untuk disalah guna.
“Dari situ kita kesan kumpulan ini dipercayai untuk merekrut golongan pelajar kerana lama-kelamaan mereka akan ketagih dan menjadi penagih dadah baharu.
“Ini yang kita nak halang, usaha kita tertumpu kepada golongan remaja dan belia. Kita akan guna pelbagai kaedah termasuk bekas pelatih untuk membantu,” katanya dalam majlis pelancaran Modul Anjakan Kepulihan: Pendekatan Sukarela AADK di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Sukarela Sungai Besi di sini semalam.
Ahad lalu, Mingguan Malaysia melaporkan setiap bulan purata 315 kanak-kanak dan remaja dikesan terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Mengikut statistik AADK dalam tempoh tiga tahun sejak 2018 hingga Jun lalu, sebanyak 9,458 pelajar sekolah rendah dan menengah berusia 12 hingga 20 tahun terjebak dalam gejala dadah.
Zulkifli berkata, pihaknya menyasarkan kira-kira 30 peratus penagih dadah untuk tampil menjalani rawatan dan pemulihan secara sukarela pada 2021. – UTUSAN ONLINE










