Sebelum datang Islam yang dibawa Rasulullah SAW, alam dunia hidup dalam keadaan gelap kejahilan, kesesatan dan syirik. Sedikit sahaja ahli kitab iaitu mereka yang mewarisi kitab nabi yang masih kekal menjaga agama.
Bangsa arab mengamalkan kehidupan yang buruk, menanam hidup-hidup anak perempuan dan mengharamkan perkara yang Allah rezekikan kepada mereka tanpa hujah atau dalil.
Kejahilan ini disingkap dalam firman Allah SWT, bermaksud: Sesungguhnya rugilah orang yang membunuh anak mereka kerana kebodohan lagi tidak berpengetahuaan sedang Allah yang memberi rezeki kepada sekelian makhluknya. Dan juga rugilah orang yang mengharamkan apa yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka dengan berdusta terhadap Allah. Sesungguhnya sesatlah mereka dan tiadalah mereka mendapat petunjuk. (al-An’am: 140).
Mereka amal tabiat makan bangkai, minum darah sebagaimana Allah mengarahkan Rasulullah SAW membaca firman-Nya kepada golongan ini yang bermaksud: Katakanlah wahai Muhammad, Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepada ku sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, darah yang mengalir, daging babi kerana sesungguhnya ia adalah kotor, sesuatu yang dilakukan secara fasik iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah. Kemudian sesiapa yang terpaksa memakannya kerana darurat sedang ia tidak menginginnya dan tidak melampaui batas maka sesungguhnya Tuhan mu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (al-An’am: 145).
Kemuncak kesesatan mereka ialah syirik kepada Allah. Menyembah patung berhala dan mengharamkan diri mereka sebahagian haiwan sedangkan boleh diambil faedah dan manfaat.
Perutusan Rasul
Di saat alam dipenuhi kejahilan, syirik dan kesesatan inilah, Allah SWT mengutuskan Nabi SAW membawa ke jalan yang benar.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Alif, Lam, Ra. Inilah kitab al-Quran yang Kami turunkan kepada mu wahai Muhammad supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya daripada gelap gelita kufur kepada cahaya iman dengan izin Tuhan mereka ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji (Ibrahim: 1)
Perutusan Rasulullah SAW adalah untuk semua manusia bukannya kepada kaum tertentu atau bangsa tertentu. Nabi SAW berdakwah tanpa meminta balasan upah dan baginda SAW sanggup menerima segala rintangan dan halangan berdakwah. Semuanya dihadapi dengan penuh kesabaran dan akhlak yang terpuji.
Sesungguhnya perutusan Rasulullah SAW adalah satu anugerah terbaik kepada kita semua. Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah SWT telah mengurniakan kepada orang yang beriman setelah ia mengutuskan seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah di mana kandungan al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanya dan membersihkan mereka dari iktikad yang sesat serta mengajar mereka kitab Allah dan hikmah iaitu sunnah dan sesungguhnya mereka sebelum kedatanagn Nabi Muhammad adalah dalam kesesatan yang nyata. (ali-Imran: 164)
Makna Anugerah
Sheikh Sya’rawi memberi ulasan yang menarik berkaitan ayat ini dengan menghurai maksud Nabi Muhammad adalah anugerah kepada orang beriman.
Maksud anugerah ialah pemberian yang tidak boleh membalas dengan sesuatu. Anugerah termahal ini adalah kerana rasul membawa manusia kepada manhaj Allah. Ditambah lagi anugerah tersebut dengan utusan rasul dari kalangan manusia yang terkenal peribadinya dengan amanah, nasab keturunannya yang mulia dan benar dalam percakapan.
Tugas Rasulullah SAW adalah mengajar al-Quran dan sunnah. Sedangkan sebelumnya mereka sesat yang nyata yang tidak membawa kepada syurga yang diharapkan tetapi kepada neraka.
Isyarat perpisahan
Semasa Nabi SAW berada di Arafah, hari wukuf 9 Zulhijjah tahun 10 hijrah, baginda SAW menerima wahyu yang bermaksud: Pada hari ini aku sempurnakan bagimu agamamu dan aku sempurnakan nikmat-ku kepada mu dan Aku reda Islam menjadi agama-mu. (al-Maidah: 3)
Rasulullah SAW berasa tugasan dakwah telah ditunaikan, Islam telah berkembang, kesesatan jahiliah dan syirik telah hancur dan hukum-hakam syariah telah disampaikan. Rasulullah bertanya kepada para sahabat: Kamu semua akan ditanya dengan dakwah-ku apakah yang kamu jawab nanti?
Para sahabat menjawab dengan suara kuat: Kami bersaksi sesungguhnya kamu telah menyampaikan Islam, menunai amanah dan memberi nasihat. Nabi SAW berasa tenang dengan jawapan para sahabatnya. Kemudian Rasulullah SAW mengangkat jari telunjuknya ke langit dan berkata: “wahai Allah, saksikanlah, wahai Allah saksikanlah, wahai Allah saksikanlah”. Alangkah gembiranya Rasulullah SAW.
Setiap permulaan ada pengakhiran dan setiap kehidupan akan merasai mati. Itulah sunnatullah di dunia ini. Selepas melaksanakan semua tanggungjawabnya Nabi SAW meninggal dunia pada 12 Rabiulawal tahun 11 hijrah. Peristiwa yang amat sedih kepada umat Islam.
Seluruh penduduk Madinah amat sedih sehingga mereka berkata hari yang paling kami gembira ialah hari kedatangan Rasulullah SAW dan hari yang paling sedih ialah hari wafatnya Nabi SAW.
Rasulullah SAW mengalami demam yang amat panas. Dalam keuzuran tersebut semua isteri Rasulullah mengizinkan baginda SAW berada di rumah Aisyah r.ha kerana sayang dan kasihnya kepada Aisyah sehingga baginda wafat.
Berita wafat itu tersebar dengan cepat dan ada yang pada mulanya tidak boleh menerima hakikat tersebut termasuk Umar al-Khattab r.a.
Namun selepas Abu Bakar al-Siddiq datang melihat jasad Rasulullah SAW dan mengucup kedua kening Nabi SAW, beliau memberi nasihat kepada Umar perkara yang sebenar tetapi masih tidak boleh menerima kenyataan.
Lantas Abu Bakar membuat ucapan: “Sesiapa yang menyembah Muhammad sesungguhnya muhamad telah meninggal dan sesiapa yang menyembah Allah sesungguhnya Allah tetap hidup dan tidak akan mati”. Kemudian beliau membaca ayat 144 surah Ali-Imran.
Semoga sayang dan kasih kita kepada Rasulullah SAW terus berkekalan sehingga ke syurga. Selawat dan salam kepada Mu wahai Nabi SAW.
- PM Dr Khairul Anuar Mohamad Fakulti Pengajian Quran
dan Sunnah, USIM.










