KUALA LUMPUR: Di tengah-tengah negara masih ‘dibadai’ penularan Covid-19, menyingkap apa yang berlaku ketika pilihan raya negeri (PRN) Sabah yang mencetuskan gelombang ketiga
pandemik itu, pilihan raya kecil (PRK) di tiga kerusi, hendak atau tidak, perlu dilaksanakan.
Dua PRK sudah tentu perlu diadakan di Sabah susulan kematian ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong (Warisan) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Manis Muka Mohd. Darah (Warisan).
Satu lagi ialah kerusi Parlimen Gerik di Perak selepas penyandangnya, Datuk Hasbullah Osman (Barisan Nasional) meninggal dunia kelmarin.
Namun di tengah-tengah penularan pandemik Covid-19 yang masih belum pulih, ditambah dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), tidak semudah itu melaksanakan
PRK kerana banyak aspek perlu dipertimbangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ketika kerusi Parlimen Batu Sapi masih kosong, tidak banyak parti politik berminat bertanding di kawasan yang sememangnya menjadi kubu kuat Warisan.
BN sendiri tidak akan bertanding dalam PRK Batu Sapi bagi mengelakkan penularan Covid-19 menjadi lebih teruk.
Malah Pakatan Harapan (PH), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Cinta Sabah (PCS) turut mengambil keputusan sama.
Keputusan itu memberi peluang kepada Warisan mengekalkan kerusi kerana tidak perlu bersaing di Batu Sapi tanpa menafikan fenomena calon Bebas tetap akan memberi tentangan.
Dalam konteks PRK di DUN Bugaya, apa yang menjadi persoalan adakah BN akan memberi laluan kepada Warisan mengekalkan kerusi tersebut?
Ini menimbulkan banyak persoalan dan spekulasi sama ada BN atau parti-parti sealiran akan meletakkan calon di kawasan itu atau sebaliknya.
Semasa PRN Sabah September lalu, Manis Muka yang bertanding atas tiket Warisan meraih 8,557 undi dalam pertandingan tujuh penjuru, dengan majoriti 6,005 undi.
Jika difikirkan, tidak mungkin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan ‘memberi muka’ lagi kepada Warisan kali ini kerana setiap satu kerusi yang dipertandingkan berharga nilainya.
Penganalisis politik, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Lee Kuok Tiung berkata, dalam situasi di DUN Bugaya, GRS tidak perlu meletakkan calon kerana umum mengetahui kawasan itu berada dalam Parlimen Semporna pimpinan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal manakala ketiga-tiga kawasan DUN di daerah itu adalah kubu kuat pembangkang.
Peluang GRS memenangi kerusi tersebut amat tipis jika dibandingkan dengan pengaruh ‘Shafie’ di kawasan itu. Pun begitu katanya, bagi PRK di Parlimen Batu Sapi, meskipun keputusan sudah dibuat bahawa GRS tidak akan bertanding, namun sekutunya, Perikatan Nasional (PN) kemungkinan bertaruh merebut kerusi berkenaan.
“Saya tidak nampak GRS akan bertanding di DUN Bugaya kerana kawasan ini merupakan kubu kuat Warisan. Bagaimanapun tidak mustahil GRS atau PN bertanding di kerusi tersebut.
“Lagi pula saya merasakan akan berlaku undi simpati di mana rakyat akan mengundi kepada parti bekas penyandang terdahulu, jadi tidak mungkin kemenangan akan berpihak kepada parti selain Warisan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Sementara itu bagi Parlimen Gerik, bekas penyandangnya meraih jumlah undi yang besar iaitu 13,243 membabitkan tiga penjuru iaitu Pas (7,715) dan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) yang memakai lambang PKR (6,353).
Kini setelah ketiga-tiga parti berada dalam satu gabungan, maka adalah wajar untuk kerusi tersebut diberikan kepada BN atas semangat konsensus dalam gabungan PN.
Tambahan pula dengan majoriti yang memihak kepada BN iaitu 5,528 dan juga peningkatan kes Covid-19 di negara ini, tiada alasan cadangan itu diketepikan.
Menyorot situasi jangkitan wabak Covid-19 di Sabah, sudah cukup untuk menyedarkan semua pihak, melaksanakan pilihan raya tidak kira pilihan raya umum (PRU), PRN ataupun PRK – itu bukan satu permainan atau gurauan kerana krisis kesihatan akibat Covid-19 perlu menjadi keutamaan semua pihak.
Negara pernah tersilap langkah akibat PRN Sabah serta ketidakpatuhan SOP sebelum, semasa dan selepas berkempen. – UTUSAN ONLINE










