PUTRAJAYA: Sebanyak 28 kilang sarung tangan Top Glove di Klang, Selangor diarahkan tutup secara berperingkat bagi membolehkan para pekerja menjalani ujian saringan Covid-19 dan melaksanakan proses kuarantin.
Pelaksanaan itu akan diselaraskan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor dengan kerjasama pengurusan Top Glove berikutan berlaku peningkatan ketara kes positif dalam kalangan pekerja kilang tersebut.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan melaksanakan sebanyak 5,794 saringan dan mendapati 1,889 kes positif direkodkan sehingga semalam.
“Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan DIperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) di asrama pekerja lelaki dan asrama pekerja wanita syarikat itu bermula 17 November lalu.
“Namun Kementerian Kesihatan memaklumkan berlaku peningkatan ketara kes positif dan atas nasihat dan penilaian risiko Kementerian, Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju untuk menutup kilang itu secara berperingkat,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Ismail Sabri berkata, perintah Temco akan dilaksanakan di Penjara Seremban, Negeri Sembilan dan kuarters penjara itu selama 14 hari bermula esok (24 November) sehingga 7 Disember ini.
Menurut beliau, sebanyak 246 ujian saringan Covid-19 bersasar dilaksanakan dan sebanyak 25 kes positif direkodkan di penjara itu.
Katanya, perintah Temco itu meliputi keseluruhan kawasan penjara termasuk blok penjara, bangunan pentadbiran serta kuarters pegawai dan kakitangan yang melibatkan 2,080 orang penghuni.
Dalam pada itu, beliau berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuching Sarawak dilanjutkan sehingga 27 November ini memandangkan 1,055 kes kumulatif positif direkodkan dan daripada jumlah itu, masih terdapat baki 58 kes aktif melibatkan beberapa kluster di daerah ini. – UTUSAN ONLINE










