131 masih abai pakai pelitup muka - Utusan Malaysia

131 masih abai pakai pelitup muka

PENDATANG asing tanpa izin dibawa menaiki trak dalam serbuan Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Jabatan Imigresen di sekitar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dekat Pusat Hentian Kajang, semalam.– UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Masih lagi berdegil untuk memakai pelitup muka di tempat awam. Itu kesalahan utama yang sering dilakukan oleh orang ramai dalam operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan PKP Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi kesalahan itu, seramai 131 ditahan daripada 329 individu dengan seramai 311 daripadanya dikompaun manakala lima direman dan 13 dijamin.

Menurut beliau, antara ke­salahan lain ialah gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (59), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (50), rentas negeri atau daerah PKPB tanpa kebenaran (38) dan lain-lain kesalahan (51).

“Task Force Operasi Pematuhan membuat 57,256 pemeriksaan semalam melalui 2,945 Pasukan Pematuhan melibatkan 13,721 anggota.

“Operasi Benteng juga berjaya menahan 88 pendatang asing tanpa izin (PATI), lima tekong serta merampas 13 kenderaan darat melalui 261 sekatan jalan raya,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai lalu, seramai 73,713 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 76 hotel dan 18 institusi lain.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 10,152 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 405 individu dihantar ke hospital untuk rawatan, serta 63,156 individu dibenarkan pulang.

Mengenai Operasi Sanitasi Awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac lalu, kata beliau, sebanyak 11,822 operasi sanitasi dilaksanakan merangkumi 137 zon.

“Sebanyak 14,031 premis disanitasi terdiri daripada 2,854 pusat perniagaan, 1,656 kawasan perumahan termasuk PPR, 2,758 tempat awam, 357 pasar raya dan 6,406 bangunan kerajaan.

“Semalam, sebanyak 50 operasi sanitasi meliputi 13 zon merah, enam zon jingga, tujuh zon kuning dan 10 zon hijau melibatkan sembilan negeri,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat 652 pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan termasuk peruncit (458), pemborong (161) dan pengilang (33).

Secara keseluruhan, katanya, bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh.

“Pegawai penguatkuasa KPDNHEP juga melakukan 895 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati ke­semua premis mematuhinya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN