
PEMANDU Grab wanita ini ujiannya tidak sama dengan lelaki. Bagi yang punya wajah menawan dan cantik jelita, dah pastilah penumpang pula mudah tergoda.
Tapi jangan bimbang, bab-bab ini memang pemandu wanita pandai menepis. Cuma sifat belas kasihan pemandu wanita kepada penumpang, adakalanya berakhir dengan menyusahkan diri sendiri. Gara-gara simpati menggunung, untung tiada, rugi pula tiba.
Kisah ini berlaku kepada sahabat Grab perempuan yang saya panggil Dee. Dia lembut orangnya dan berjiwa pengasih. Dee bercerita, tidak lama dahulu dia membantu pasangan kekasih dari negara Arab yang mahu berkahwin
“Aku nak kata menyesal tolong tidak juga tapi aku kategorikan hari itu hari penuh pancaroba,” kata Dee ketika kami melepak minum teh ais di sebuah restoran. Saya biarkan dia bercerita sambil leka makan keropok lekor panas.
“Aku ambil pasangan Arab ini di Jalan Ipoh. Waktu itu dalam pukul 11 pagi . Bersama mereka seorang budak kecil perempuan yang umur sekitar lima tahun. Cantik pasangan ini. Aku anggap mereka suami isteri sebab nampak mesra.
“Rupa-rupanya mereka ini pasangan kekasih. Budak itu anak kepada si wanita Arab yang juga seorang ibu tunggal. Mereka nak pergi bernikah di Masjid Al Bukhori, Jalan Hang Tuah,” kata Dee.
Tambangnya ketika itu, kata Dee tidaklah besar mana. Dia sendiri berasa seronok mahu membantu pasangan Arab ini mendirikan masjid.
“Tapi rupanya lain ceritanya. Patutnya kerja aku hantar ke masjid saja tapi penumpang ini pula minta tolong singgah di kawasan Bukit Bintang sebab nak uruskan dokumen.
“Lepas singgah di Bukit Bintang, ada lagi persinggahan lain sekitar situ. Anak ditinggalkan dalam kereta manakala pasangan itu sibuk dengan urusan yang aku pun tak tahu apa. Masa itu aku geram sangat. Nak saja aku tinggalkan mereka tapi budak itu ada dalam kereta aku,” kata Dee.
Meneruskan cerita, mahu tak mahu Dee terpaksa menunggu pasangan Arab tersebut menguruskan hal mereka sambil dalam hati rasa nak menjerit.
“Bila mereka datang, aku marah sangat. Tapi bila mereka minta maaf, mulalah hati aku cair,” kata Dee.
Dee kemudian menghantar mereka ke masjid berkenaan. Tapi nak dijadikan cerita, imam masjid enggan menikahkan kerana ada beberapa sebab.
“Pasangan ini merayu nak bernikah juga tapi pihak masjid tak bersetuju. Masa itu aku masih di sana. Sudahnya tak pasal-pasal aku terlibat sekali lagi. Mereka merayu aku carikan masjid lain sebab nak bernikah juga. Masalah betul. Dahlah tunggu berjam-jam, kena cari masjid pula,” kata Dee.
Tapi kau tolong jugakan? Tempelak saya.
“Kesian pula tengok muka mereka. Akhirnya aku hantar ke Masjid Wilayah. Tapi lepas drop off, aku tinggalkan terus. Buatnya di sana kena tolak lagi, masak nak pusing KL cari tok imam,” kata Dee.
Soalan saya kepada Dee, bayar tambang tak?
“ Tambang dapat cuma RM15. Dari masjid Al Bukhori tu ke Masjid Wilayah aku bawa percuma. Tak berbaloi. Dahlah berjam-jam tunggu,” katanya.
Habis tu dah serik? Aku tanya.
“Gila tak, kalau ada penumpang Arab sekarang, aku jadi pendiam. Malas nak ramah. Takut kena hantar pergi menikah lagi, padahal aku pun belum bernikah,” kata Dee tertawa.
Saya gelak terbahak-bahak mendengar ayat itu. Cuma saya tak yakin Dee akan serik. Mesti dia tolong lagi bila penumpang merayu-rayu. – MINGGUAN MALAYSIA










