‘Tolong doakan anak-anak kami’ - Utusan Malaysia

‘Tolong doakan anak-anak kami’

Ordinan Darurat boleh digunakan mengikut keperluan semasa bagi membanteras penularan pandemik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: “Tolong doakan anak-anak kami”, luah seorang bapa yang anaknya pelajar Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) Senawang disahkan positif Co­vid-19.

Sofian Sharifbudin, 47, ber­kata, keputusan ujian saringan terhadap anaknya pelajar tingkatan empat sekolah tersebut diketahui semalam dan dia mengakui sedih dan terkejut.

“Tentunya panik bila dapat tahu. Kali terakhir saya dan isteri jumpa dia awal bulan lalu semasa dia pulang ke rumah di Ampang. Sekarang dia menjalani kuarantin di sekolah sebelum difahamkan akan dibawa ke hospital.

“Anak saya memaklumkan, kesemua pelajar yang baru di­sahkan positif telah diasingkan di tingkat atas dan semua berada dalam keadaan baik. Mohon semua doakan anak-anak kami,” katanya kepada pemberita di luar pagar sekolah tersebut semalam.

Sementara itu, tambah Sofian, dia dan isteri sentiasa berhubung dengan anaknya menerusi panggilan telefon dan video.

“Dia memaklumkan berada dalam keadaan baik, saya juga menasihatkan dia supaya sentiasa menjaga diri dan mengikut langkah kuarantin yang ditetapkan,” katanya.

Seorang lagi bapa, Abdul Rauf Abdul Rahman, 44, berkata, ibu bapa kini hanya boleh mendoakan keselamatan anak-anak masing-masing walaupun mengetahui jumlah yang positif pasti akan bertambah.

“Sebagai ibu bapa, kami berdoa sahaja, tiada apa lagi boleh buat. Kami beri semangat, te­lefon anak-anak dan katakan kepada mereka, harap bersabar.

“Anak saya pelajar tingkatan tiga di sekolah ini, tadi dia ada telefon beritahu keputusan ujian calitan kali kedua masih belum diperoleh, saya harap dia tidak apa-apa,” katanya.

Sementara itu, Roziati Ismail, 47, berkata, anaknya yang berada di tingkatan tiga juga masih belum memperoleh keputusan ujian calitan kali kedua yang dilakukan kelmarin.

“Mulanya saya tidak boleh te­rima apa yang berlaku, kerana kami sebagai ibu bapa tidak dapat maklumat yang lengkap. Tapi apabila Kementerian Kesihatan mengambil langkah perlu, saya lega sedikit,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati kebanyakan ibu bapa yang datang turut membawa barang keperluan untuk pelajar dan kakitangan yang masih dikuarantin di sekolah tersebut.

Antaranya makanan, minuman, pakaian dan telefon bimbit.

Sementara itu, seramai 26 individu STIAS disahkan positif Covid-19 semalam.

Pengerusi Pengelola STIAS Senawang, Abdullah Abdol Razak berkata, hasil ujian sa­ringan kesemua mereka membabitkan seramai lapan orang kakitangan dan 18 orang pelajar.

“Keputusan Kementerian Kesihatan mendapati hasil ujian saringan yang dilakukan terdapat pertambahan baharu seramai 26 individu yang disahkan positif Covid-19.

“Tambahan terbaharu tersebut membabitkan lapan orang kakitangan dan 18 orang pelajar,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Kelmarin, seramai 33 pelajar sekolah swasta tersebut disahkan positif Covid-19 hasil ujian saringan berikutan salah seorang daripada pelajarnya positif Covid-19 sekali gus mewujudkan Kluster Sofi.

Sementara itu, Abdullah menjelaskan, atas nasihat kerajaan pihak sekolah mengambil tindakan segera menempatkan pelajar yang positif virus ber­kenaan dalam bilik khas.

“Pelajar harian yang tidak menetap di asrama juga diarahkan untuk menjalani kuarantin di sekolah sementara menunggu keputusan ujian saringan bagi mengelakkan jangkitan tersebar ke luar,” katanya.

Sementara itu, katanya, segala keperluan asas di sekolah juga adalah mencukupi hasil sumbangan pihak Yayasan Sofa dan Kumpulan Pendidikan Muhammadiah (MUTIM) selain bantuan ibu bapa, orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, sebahagian daripada pelajar dan kakitangan yang disahkan positif Covid-19 semalam telah dibawa ke Hospital Rembau kira-kira pukul 3.30 petang dengan menggunakan sebuah bas Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan dan sebuah ambulans.

Difahamkan, masih terdapat 75 orang yang terdiri daripada 50 orang pelajar, tujuh orang guru dan 18 orang kakitangan yang masih berada di sekolah tersebut yang sedang dikuarantin dan menunggu hasil ujian saringan mereka. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN