Sultan Selangor dukacita - Utusan Malaysia

Sultan Selangor dukacita

SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacita dengan sesetengah ahli politik seolah-olah tidak mempedulikan langsung masalah dan kesusahan rakyat yang terkesan akibat Covid-19 dan situasi ekonomi sekarang.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani berkata, baginda mengambil maklum dan menyokong penuh titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 16 Oktober lalu.

Menurut Muhamad Munir, Sultan Selangor menzahirkan kebimbangan berhubung kemelut politik negara yang dilihat tiada kesudahan sehingga menimbulkan keresahan rak­yat.

“Baginda bertitah rakyat mula bosan dan meluat dengan tindak tanduk ahli politik yang sentiasa bercakaran dan bertelingkah merebut kuasa pemerintahan negara. Ahli-ahli politik seharusnya bertanggungjawab memastikan pende­ritaan rakyat sentiasa menjadi keutamaan ketika melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka.

“Titah Sultan Sharafuddin, kesusahan dan penderitaan rakyat dalam kehidupan seharian perlu segera ditangani dan diselesaikan dengan mengambil pendekatan yang drastik dan efektif,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Muhamad Munir berkata, baginda turut bertitah supaya semua pihak terutama ahli-ahli politik di negara ini sentiasa be­kerjasama tanpa mengira pendirian parti masing-masing.

“Titah baginda, ahli politik perlu sentiasa fokus dalam membantu rakyat dan negara menangani penyebaran Covid-19 dan membina semula ekonomi yang teruk terjejas,” katanya.

Baru-baru ini, Al-Sultan Abdullah menasihatkan ahli-ahli politik supaya tidak meng­akhiri perbezaan pendapat dengan permusuhan.

Sebaliknya titah Seri Paduka, permasalahan itu seharusnya diselesaikan melalui rundingan dan proses perundangan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Seri Paduka bertitah, semua ahli politik perlu mempamerkan kematangan, memahami serta menjiwai keluh-kesah rakyat dan tidak mengabaikan kesejahteraan masyarakat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN