PASIR PUTEH: Nahas yang mengorbankan dua beranak warga Indonesia dipercayai berpunca daripada pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) tersebut mengantuk sebelum terbabas merempuh surau Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jawa 2 di Kilometer 3, Jalan Selising-Kok Lanas, dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, wanita berusia 45 tahun dan ibunya berusia 67 tahun yang duduk di tempat duduk belakang SUV tersebut meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Saari Mamat berkata, SUV yang dinaiki dua beranak bersama empat saudara mereka sedang dalam perjalanan dari Tok Bok, Machang ke Kota Bharu.
Katanya, siasatan awal mendapati, pemandu SUV yang berusia 41 tahun dan merupakan saudara kepada dua beranak itu dipercayai mengantuk ketika tiba di kawasan simpang tiga di depan SK Bukit Jawa di sini.
“Keadaan itu menyebabkan kenderaan tersebut terbabas sebelum merempuh pagar dan surau sekolah berkenaan.
“Dua beranak yang berada di tempat duduk belakang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala empat saudara mereka berusia dalam lingkungan 33 tahun hingga 41 tahun cedera parah,” katanya hari ini. – UTUSAN










