Bukan pelawak tak kelakar, tapi zaman sudah berubah - Shuib - Utusan Malaysia

Bukan pelawak tak kelakar, tapi zaman sudah berubah – Shuib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Persoalan sama ada industri komedi tempatan semakin malap kembali menjadi perhatian apabila pelawak, Ieda Moin baru-baru ini menyifatkan dunia komedi di negara ini seolah-olah ‘tidur’ berikutan kekurangan platform untuk pelawak berkarya.

Kononnya, situasi itu menyebabkan ramai pelawak terpaksa mencari sumber pendapatan lain seperti berniaga atau aktif di media sosial kerana peluang dalam industri semakin terhad.

Berkongsi pandangannya, pelawak, Shuib Sepahtu berkata, kemerosotan industri komedi bukan berpunca daripada pelawak sudah tidak berbakat, sebaliknya perubahan landskap hiburan, kekurangan program televisyen serta masalah penajaan menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada situasi tersebut.

Ikuti pandangan Shuib bersama Pancaindera berhubung perkara ini.

Ada yang berpandangan, industri komedi tempatan seolah-olah ‘tidur’ kerana sudah tiada platform dan ramai pelawak terpaksa berniaga untuk mencari pendapatan. Apa pandangan Shuib?

Kalau hendak cakap pasal comedy scene ini, dulu yang memainkan peranan besar adalah stesen TV. Dulu yang membesarkan pelawak-pelawak ini adalah TV sebelum sampainya zaman media sosial. Bila program TV sangat pesat dan jumlahnya banyak, itulah yang mengangkat pelawak kerana platform pun banyak.Tapi sekarang memang program komedi dekat TV sudah tiada yang betul-betul ‘best’, ‘boom’ atau kuat. Salah satu sebabnya adalah penaja sudah tidak kuat atau memang tidak ada. Apabila hendak buat program macam Maharaja Lawak Mega (MLM) atau Raja Lawak pun, mereka tidak bersemangat sebab tiada kewangan yang mencukupi.
Apabila ada pertandingan, peserta pula akan tanya, gaji berapa? Apabila tengok bayarannya, mereka fikir lebih baik buat live, berniaga atau cari pendapatan melalui platform lain.

Maksudnya ramai juga fikir apa akan berlaku selepas pertandingan berakhir?

Ya. Orang fikir, habis program nanti aku hendak pergi mana? Tidak macam dulu zaman Raja Lawak 1, 2 dan 3. Masa itu industri lawak tengah pesat. Ramai pemenang dilahirkan dan selepas pertandingan selesai, masih ada banyak program susulan. Ada jaminan. Sebab itu, mereka yakin boleh terus hidup dalam industri. Sekarang TV pun sudah tidak banyak program. Orang fikir, habis 10 minggu bertanding, lepas itu tidak apa pun. Akhirnya mereka kembali ke media sosial, buat kandungan, berniaga di TikTok atau masuk acara kerana di situlah pendapatan yang lebih terjamin. Itulah realitinya sekarang.

Sebagai pelawak sendiri, sedih tak melihat keadaan ini?

Sedih memang sedih. Tapi kita kena terima hakikat sebab masa berjalan. Dunia berubah. Cita rasa penonton berubah. Cara orang menikmati lawak pun sudah lain. Dulu orang sanggup duduk depan TV semata-mata hendak tunggu program lawak. Sekarang mereka tengok kandungan di media sosial atau YouTube. Cara orang menikmati komedi sudah berubah.

Adakah bentuk komedi juga sudah berubah?

Memang berubah. Kalau dulu lawak ada sentuhan tradisional dan lebih ‘pure’. Sekarang semuanya banyak bergantung kepada benda viral, teknologi, editing dan kandungan media sosial. Lawak macam Johan atau Zizan yang dulu popular pun sudah tidak sama penerimaannya kalau dibawa dalam suasana sekarang.

Adakah sebab itu ramai pelawak tidak lagi berminat menyertai pertandingan?

Ya, sebab pelawak pentas ada risiko. Kalau persembahan tidak menjadi, orang terus kata kita sudah tidak kelakar. Sebab itu, ada yang pilih untuk tidak masuk pertandingan. Mereka rasa sudah selesa dengan apa yang ada. Daripada cuba buktikan sesuatu, nanti orang terus menghakimi. Padahal bukan sebab kita tidak kelakar. Zaman sudah berubah. Kalau lawak yang aku buat hari ini dibawa 15 tahun dulu, mungkin orang terbahak-bahak ketawa.Tapi kalau buat sekarang, orang rasa sudah tak kelakar sebab ia sudah tak ‘in’.

Jadi, sekarang pelawak lebih memilih jalan yang lebih selamat?

Memang. Sekarang ramai fikir kalau tidak buat lawak di TV pun aku boleh berniaga.Aku boleh buat live. Orang boleh bayar aku buat review. Aku boleh bekerjasama dengan jenama.
Jadi, orang fikir, kenapa aku perlu bertanding lagi sedangkan aku sudah ada pendapatan? Pemasaran pun sudah mahal. Akhirnya semua orang pilih jalan yang paling selamat, asalkan ada duit masuk.

Kalau hendak hidupkan semula industri komedi, apa yang perlu dilakukan?

Kalau betul hendak meriah balik, cuba bayangkan buat satu pertandingan yang himpunkan Johan, Zizan, Nabil, Tauke, Jep, aku dan pelawak-pelawak Raja Lawak dari musim pertama sampai musim keenam. Mungkin suasana itu boleh hidup semula.Tapi kalau tanya mereka sekarang, ramai sudah tidak mahu. Mereka rasa zaman itu sudah habis.
Semua orang memang rindu zaman tersebut. Cuma pelawak perlu diyakinkan semula bahawa industri ini masih ada masa depan.

Adakah isu penajaan masih menjadi penghalang utama?

Ya. Kalau ada platform macam Sepahtu Reunion semula dengan bayaran yang berbaloi, mungkin ramai akan kembali. Tapi masalahnya sponsor tidak ada. Program sekarang pun bukan semua ada penaja yang besar. Kos penerbitan pula semakin tinggi. Hendak bayar staf pun tinggi. Semua orang terasa. Astro sendiri pun sedang berdepan cabaran dalaman.
Bayangkan, lagi lima tahun nanti macam mana keadaan industri kalau perkara ini berterusan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN