Sempat ‘dating’ makan durian - Utusan Malaysia

Sempat ‘dating’ makan durian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH masuk hari kelima Perintah Kawalan Perge­rakan Bersyarat (PKPB) dikenakan ke atas Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Pemandu Grab kembali runsing untuk dua minggu ini sebab jumlah penumpang merudum. Waktu ini, lebih ramai pemandu daripada penumpang. Berlegar tiga jam pun belum tentu ‘sangkut’ penumpang. Aduhai.

Lebih-lebih lagi bila ramai warga asing terutama­nya dari Bangladesh, Nepal atau Pakistan, tak berani keluar. Mereka ini antara pelanggan paling digemari sebab perjalanan yang diambil biasanya dalam jarak jauh. Maka, tambang pun besar. Apa pun, mahu tak mahu terpaksalah kami pemandu Grab ‘hadap’ sahaja keadaan ini dan berdoa agar pandemik Covid-19 menghilang terus dari muka bumi ini.

Okey, kita teruskan dengan pengalaman seorang rakan wanita. Lawa orangnya dengan senyuman manis. Saya panggilnya Dee saja. Satu hari, Dee mengambil seorang penumpang warga Indonesia di sekitar Puchong. Dia mahu ke Sri Kembangan.

“Dia kontraktor yang nak melawat tapak projek di sekitar sana. Tak silap aku, tambang Grab ketika itu RM30,” cerita Dee kepada saya.

Sambung Dee, kebetulan waktu itu musim durian. Di sana sini, banyak durian dijual di tepi jalan. Berlonggok-longgok.

“Kau tahulah aku suka durian. Mana boleh nampak durian, mesti nak berhenti dan makan tepi jalan,” kata Dee tergelak.

Betullah, saya sedar dengan kegemaran Dee itu. Pernah kami makan durian tepi jalan dan Dee makan macam tak ingat dunia!

“Masa on the way ke Seri Kembangan, aku lalu kawasan jual durian. Bila nampak durian, automatik aku tersebut ‘eh durian laa…sedapnya’, tanpa sedar.

“Penumpang aku ni dengar kata-kata aku. Terus tanya, ‘cik suka durian ke? Nanti sampai Seri Kembangan, saya bawa cik makan durian.”

Sudahnya, apabila sampai di Seri Kembangan, penumpang tersebut menunjukkan kepada Dee lokasi orang menjual durian yang kerap dikunjunginya.

“Aku ingat lagi, masa itu harga sekilo RM20. Kebetulan di sebelah gerai durian, ada jual cendol. Memang rezeki jerung betul hari tu. Sudahnya aku dan dia duduk tepi jalan sambil makan durian dan minum cendol. Paling best, dia siap tapaukan lagi durian suruh aku bawa balik. Memang rezeki luar biasa,” kata Dee.

Lepas makan durian dua biji, barulah Dee meng­hantar penumpang tersebut ke destinasinya. Pendek kata, lama jugalah Dee ‘dating’ secara tak dirancang itu.

“Lepas tu, takkan habis di situ je? Penumpang tu tak contact kau lagi ke,” saja aku pancing Dee dengan soalan tersebut.

“Dia ada mesej-mesej aku ajak jumpa lagi, umpan aku makan durian. Tapi tak naklah. Sekali makan durian cukuplah. Lebih sekali karang jadi lain pula,” kata Dee tersengih.

“Alah, itu mesti tak handsome kan! Kalau muka macam Nikolas Saputra, mesti sanggup makan durian hari-hari kan?” Kata saya.

“Haaa…betullah tu. Kalau rupa macam itu, aku sanggup siang malam makan durian. Jadi pemandu peribadi pun boleh.” sahut Dee lantas kami ketawa berdekah-dekah.

Mujur ketika itu, musim durian dah berakhir. Kalau masih ada, silap gaya saya ajak Dee makan durian di lokasi sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×