Sanggup lari masuk hutan elak Covid-19 - Utusan Malaysia

Sanggup lari masuk hutan elak Covid-19

KAUM lelaki Orang Asli suku Bateq dalam khemah sementara yang dibina di tepi Sungai Lubuk Kucing berhampiran Taman Negara Kuala Koh, semalam. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lebih 200 penduduk Orang Asli Bateq di Kampung Kuala Koh di sini hidup berpindah-randah lebih 10 kali dalam hutan tidak jauh dari kampung mereka sejak enam bulan lalu gara-gara takut dijang­kiti Covid-19.

Tindakan itu diambil kera­na mahu menjaga kesihatan diri dan ahli keluarga masing-ma­sing daripada virus berkenaan.

Kebanyakan mereka membina pondok sementara di tepi sungai yang jaraknya kira-kira 10 hingga 15 kilometer dari Kampung Kuala Koh.

Seorang penduduk Orang Asli, Johan Taun, 75, berkata, mereka memilih kawasan kedia­man baharu yang mempunyai kemudahan air bersih dan sumber makanan.

Katanya, sejak sebulan lalu, dia berpindah ke kawasan pinggir sungai berdekatan Taman Ne­gara Kuala Koh.

“Sejak sebulan lalu, kami tinggal sementara di Sungai Lu­buk Kucing.

“Kami mendirikan khemah di sini (tepi sungai) kerana kawasan ini mudah untuk mendapatkan air bersih dan memburu haiwan,” katanya.

Seorang lagi penduduk Orang Asli, Pikas Langsat, 35, berkata, mereka berasa selamat tinggal di kawasan hutan dan pinggir sungai.

Katanya, mereka berpindah ke tempat lain setiap dua ming­gu sekali.

“Kampung Orang Asli Kuala Koh kerap lengang kerana mereka berpindah ke hutan sejak penularan wabak Covid-19 Mac lalu.

“Walaupun hidup di kawasan pedalaman tetapi kami menge­tahui bahaya wabak Covid-19 kerana penduduk mempunyai kemudahan telefon dan internet untuk mengikuti perkemba­ngan semasa,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Paloh, Amran Arifin berkata, Orang Asli suku Bateq sudah biasa hidup berpindah randah kerana aktivi­ti tersebut merupakan amalan mereka sejak turun-temurun.

Katanya, tindakan mereka berpindah sementara ke hutan berhampiran adalah untuk mencari sumber makanan dan melindungi ahli keluarga mereka daripada jangkitan penyakit. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN