Kisah ini berlaku di awal tahun 80-an. Diceritakan oleh seorang hamba Allah bernama Rozaidi Mahmud dari Taiping, Perak. Dia sanggup menghubungi penulis semata-mata untuk berkongsi ceritanya dengan pembaca. Mungkin generasi baharu hari ini tidak pernah mendengar tentang kecohnya cerita hantu susu satu ketika dahulu. Itu belum masuk lagi cerita hantu kum-kum dan hantu lilin yang sekali gus pernah buatkan orang kampung tak tidur malam. Sahih atau tidak, Wallahualam. Tapi apa salahnya jika kita mendengar ceritanya. Kisah hantu susu yang kononnya pernah berkeliaran di kampungnya satu ketika dahulu.
Dalam remang senja Zaidi sibuk menyusun papan untuk menutup kedai runcit ayahnya. Siang tadi ayahnya dah pesan mulai hari ini bila masuk sahaja waktu Maghrib dah boleh kemas-kemas dan tutup kedai. Bukan apa sejak kecoh pasal hantu susu yang kononnya berkeliaran di kampung mereka semua penduduk sudah tidak berani lagi untuk keluar malam.
Zaidi pun tak pasti cerita hantu susu ni betul atau tidak. Sebelum ini di kampung tengah ada juga cerita seorang peniaga terserempak dengan wanita berpurdah labuh berwarna hitam mengendong batu nisan ketika dia ingin menutup kedai. Kononnya wanita tersebut menegurnya dan ingin meminta susu. Apa lagi, terus dia cabut lari lintang pukang. Tup-tup habis bertin-tin susu dalam kedainya kena sapu. Rupa-rupanya ada malaun yang ambil kesempatan mencuri.
Sebab itulah Zaidi susah nak percaya cerita-cerita macam ni, lagipun seumur hidupnya tak pernah lagi dia terjumpa hantu, walaupun sering keluar melepak sehingga larut malam.
Sedang Zaidi leka mengemas barang-barang di kedainya tiba-tiba dia berasa tidak sedap hati. Dia memandang sekeliling. Remang senja sudah beransur-ansur bertukar gelap. Ditolehnya jam yang tergantung di dinding kedai. Sudah hampir 7.30 malam.
Entah kenapa tiba-tiba dia berasa seram yang teramat. Bulu romanya tegak berdiri. Seolah macam ada sesuatu yang tidak kena. Dijengahnya jalan raya di hadapan. Lengang tanpa kelibat kenderaaan yang lalu lalang. Cepat-cepat dia sambung kerjanya. Dia harap dapat pulang secepat mungkin walaupun rumahnya hanya sekangkang kera sahaja jaraknya dari kedai tersebut.
Sedang dia ingin menutup tingkap terakhir di kedainya, tiba-tiba dia terperasan ada satu sosok sedang berdiri di hadapan kedainya. Zaidi fikir mungkin ada pelanggan yang datang ingin membeli barang. Bergegas Zaidi tinggalkan kerjanya dan menuju ke hadapan kedai.
Sebaik sampai di hadapan kedai dia tergamam. Mulutnya terkunci tanpa mampu bersuara. Jantungnya tiba-tiba berdegup laju. Di hadapannya ketika itu berdiri seorang wanita berpurdah hitam sedang mengendong sesuatu dengan wajah tunduk memandang bumi.
“Bang…ada susu tak? Anak saya ni nak susu..” tanya wanita tersebut perlahan.
Jantung Zaidi terasa luluh. Dia telan air liur. Tubuhnya menggigil serta merta dibasahi peluh. Kakinya kejang seolah terpasak di bumi. Rupa-rupanya apa yang heboh diperkatakan orang sebelum ini berlaku di hadapan matanya.
Dari samar lembayung senja Zaidi dapat melihat apa yang dikendong oleh wanita tersebut. Iya, seketul batu nisan kecil berwarna putih. Pandangannya terus bertukar gelap. Kepalanya tiba-tiba berpusing. Dia tidak mampu untuk berdiri lagi, akhirnya dia terjelepuk pengsan.
Nasib baiklah Zaidi tidak terbaring pengsan lama di situ setelah ayahnya datang ke kedai kerana curiga Zaidi masih belum pulang walaupun sudah menghampiri waktu Isyak. Setelah sedar Zaidi menceritakan apa yang berlaku. Seluruh ahli keluarganya tergamam. Masih-masing mula takut sehinggakan mereka beramai-ramai berpakat tidur di ruang tamu.
Keesokkannya ayahnya memanggil imam di kampung mereka untuk datang membantu memulihkan semangatnya. Setelah diberikan air penawar, nampak ada kurangnya namun semangatnya masih belum cukup kuat. Maklumlah berita yang selama ini hanya didengar dari mulut orang, akhirnya berlaku pada diri sendiri. Manalah dia tidak lemah semangat.
Kisah Zaidi pengsan kerana terserempak dengan hantu susu yang datang ke kedainya menjadi buah mulut orang kampung. Sejak itu sebelum masuk waktu Maghrib lagi semua penduduk kampung sudah berkurung di rumah. Anak-anak muda yang dahulunya sibuk melepak sehingga jauh malam di tembok simpang jalan sudah tidak kelihatan lagi. Warga tua yang sebelum ini selalu menghabiskan masa menonton gusti dan bermain dam di warung Limah janda juga sudah tidak berani keluar malam. Pendek kata semuanya sudah tidak berani keluar malam.
Cerita terbaharu pula melibatkan Yusman, anak bekas ketua kampung. Menurutnya, ketika dia ingin pulang ke rumah malam kelmarin seorang wanita berpurdah hitam menahan motosikal yang ditunggangnya. Apa lagi, disebabkan terlampau takut terus dia pulas minyak motosikalnya sekuat hati sehinggakan dia tidak perasan di hadapannya ada sebatang tali air.
Hampir berbulan juga kisah hantu susu menghantui penduduk kampungnya. Kata Zaidi, dia sendiri tidak tahu sama ada apa yang dilihatnya ketika itu benar-benar hantu susu atau ada individu yang sengaja ingin menakutkan orang ramai. Tapi waktu kejadian yang menimpa dirinya, tiada pula barang-barang di kedainya yang hilang.
Menurut Zaidi cerita hantu susu juga wujud dalam pelbagai versi. Ada yang cerita kononnya kisah hantu susu ini bermula apabila seorang wanita yang ditinggalkan suaminya meninggal dunia ketika ingin melahirkan anak. Tapi ada pula versi yang mengatakan wanita ni mengamalkan ajaran sesat dan meninggal dunia ketika ingin melahirkan anak.
Entahlah, dia sendiri tidak tahu mana yang betul sebenarnya dan sama ada sahih ataupun tidak. Wallahualam. Namun cerita tentang hantu susu ini bukan setakat kecoh di kampungnya malah melarat ke ke beberapa negeri lain pula.
“Tak tahulah saya sama ada cerita tersebut benar atau tidak, namun itulah pengalamaan yang pernah saya lalui ketika berusia awal 20-an dahulu,” katanya tersenyum ketika mengakhiri perbualan. – Mingguan Malaysia.










