Pentadbiran negara berjalan seperti biasa jika darurat diisytihar - Utusan Malaysia

Pentadbiran negara berjalan seperti biasa jika darurat diisytihar

APANDI ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Rakyat tidak perlu panik jika darurat diisytiharkan  kerana  pentadbiran kerajaan berjalan seperti biasa.

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan pengisytiharan darurat jika wujudnya darurat besar membabitkan alasan keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam.

Menurut beliau, situasi Covid-19 yang dihadapi ketika  ini jelas membimbangkan sekali gus ada keperluan pengisytiharan darurat dilaksanakan.

“Pentadbiran negara  berjalan seperti biasa, namun yang beza  ditadbir oleh Majlis Gerakan Negara seperti berlaku pada 1969 susulan pengisytiharan darurat disebabkan tragedi 13 Mei 1969.

“Saya boleh gambarkan situasi darurat adalah seperti tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Walaupun kita tidak boleh bergerak bebas namun operasi perniagaan, kerajaan dan sebagainya berjalan seperti biasa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Perkara 150 menyebut jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan atau kehidupan ekonomi, ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka baginda boleh mengeluarkan Proklamasi Darurat.

Menurut Mohamed Apandi, sehubungan itu, rakyat tidak perlu khuatir dengan pengisytiharan darurat kerana keadaan negara masih terkawal dan ia adalah demi keamanan negara.

“Kalau dilihat tiga asas untuk membuat pengisytiharan darurat, iaitu keselamatan negara, kehidupan ekonomi, ketenteraman awam, saya berpandangan ia ada asasnya untuk mengelakkan keadaan negara bertambah getir khususnya saat pandemik Covid-19.

“Justeru, jangan panik dengan  pengisytiharan darurat kerana segala pertimbangan dibuat sewajarnya demi kebaikan tanah air,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN