TEMERLOH: Dua penjenayah lelaki warga asing yang merupakan pakar pecah peti besi ditembak mati dalam kejadian tembak menembak di Jalan Charuk Puting di sini kira-kira pukul 5.20 pagi semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nanyan berkata, bertindak atas maklumat awam, kira-kira pukul 5 pagi semalam polis menemukan sebuah kereta Toyota Camry dalam keadaan mencurigakan di tepi Jalan Jerantut-Temerloh.
“Anggota polis cuba menahan kereta tersebut untuk pemeriksaan tetapi pemandu kenderaan terbabit bertindak memecut laju dan cuba melanggar anggota berkenaan.
“Anggota polis bertindak mengejar kereta berkenaan kira-kira 25 kilometer dan apabila sampai di Jalan Charuk Puting, pasukan polis berjaya memintas kereta itu selepas suspek bertindak melanggar sebuah lagi kereta polis,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, semalam.
Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Yusri Othman.
Othman berkata, ketika hendak melakukan pemeriksaan, seorang daripada suspek melepaskan tembakan dan terkena pada baju kalis peluru yang dipakai anggota berkenaan.
“Bagi mempertahankan diri, polis bertindak membalas tembakan yang berlangsung dalam tempoh 15 ke 25 minit menyebabkan dua penjenayah berkenaan mati.
“Pemeriksaan menemukan 12 barangan kes antaranya sepucuk revolver, dua unit grinder jenama Bosch dan satu unit drill jenama Bosch, 44 keping mata grinder, satu set pengecas bateri grinder dan sebilah parang panjang,” katanya.
Jelasnya, kumpulan penjenayah itu aktif melakukan kes pecah masuk dan curi dalam pasar raya, pejabat dan kilang pada waktu malam dengan menebuk peti besi simpanan wang.
“Dengan tumpasnya kumpulan ini, polis berjaya menyelesaikan enam kes di Pahang dan satu kes di Terengganu sepanjang tahun ini yang melibatkan kerugian RM308,245.50,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat). – UTUSAN ONLINE










