Mengintip toyol Haji Kassim - Utusan Malaysia

Mengintip toyol Haji Kassim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“BETUL beb. Aku tak tipu kau,” kata Hamdi dengan wajah bersungguh. Saya diam seketika. Tidak tahu bagaimana hendak membalas pelawaannya. Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Ikutkan hati memang teringin juga nak menikmati pengalaman mencabar seperti ini, tapi jauh di sudut hati rasa cuak pula. Maklumlah takut kalau terjadi apa-apa yang tidak diingini.

“Kita jangan pergi ramai-ramai, kita pergi berdua saja. Kalau ramai-ramai nanti serabut. Mesti kecoh punya. Kita buat rancangan senyap-senyap. Ini antara kau dengan aku je,” kata Hamdi lagi cuba menyakinkan saya.

“Pengalaman berharga ni beb! Mesti best punya. Lagipun bila lagi kita nak tengok depan mata? Selama ini asyik dengar cerita orang, mana best!” sambung Hamdi sambil mencapai gelas air di hadapannya.

Saya masih belum memberi sebarang respons. Namun kata-kata Hamdi itu memang ada benarnya. Selama ini kami hanya dengar cerita dari mulut orang kononnya Haji Kassim ada membela toyol. Ramai yang sudah terserempak dengan toyol belaannya, tapi sehingga kini tiada sebarang bukti kukuh walaupun ianya menjadi buah mulut penduduk kampung.

Tup-tup hari ini Hamdi buat plan yang tak masuk akal. Dia ajak mengintip di rumah Haji Kassim. Katanya, kalau ada orang yang ‘membela sesuatu’, malam Jumaat kliwon adalah malam di mana mereka berinteraksi. Aku garu kepala. Tak sangka sejauh itu dia mengkaji.

Bincang punya bincang akhirnya saya bersetuju. Hamdi tersengih seperti kerang busuk. Gembira sungguh dia kerana berjaya mempengaruhi saya dengan misi gilanya. Kata Hamdi apa yang berlaku malam ini adalah rahsia antara mereka berdua, jangan sesekali buka mulut kepada orang lain.

Malam itu, selepas solat Isyak kami bertemu sekali lagi di warung Pak Manap. Hamdi menerangkan secara terperinci rancangan malam itu. Saya tidak menyampuk walau sepatah, cuma sesekali mengangguk tanda faham tentang apa yang diperkatakannya.

Ketika jarum jam menginjak 12.00 tengah malam, kami berdua meninggalkan warung Pak Manap dan berjalan kaki menuju ke rumah Haji Kassim. Saya mendongak ke langit. Malam itu bulan penuh dan terang sekali gus memudahkan perjalanan kami. Suasana persekitaran cukup sunyi. Yang kedengaran hanyalah bunyi unggas dan sahutan burung hantu dari hutan berdekatan.

Hampir satu kilometer berjalan akhirnya kami sampai di rumah Haji Kassim. Dari halaman kami lihat rumahnya sudah gelap gelita. Mungkin semua penghuninya sudah lena dibuai mimpi. Perlahan-lahan kami berdua berjalan menuju ke bawah rumah. Struktur rumah kampung yang bertiang tinggi menyenangkan tugas kami.

Tiba-tiba Hamdi memberi isyarat menyuruh saya berhenti. Dia meletakkan jari telunjuknya di bibir. Dalam sunyi malam telinga saya dapat mendengar sesuatu. Bunyi seperti seseorang sedang berbual, namun saya tidak dapat ‘menangkap’ biji butir perbualan tersebut.

Hamdi memberi isyarat supaya bergerak sedikit ke hadapan. Dari celah lantai papan di kepala kami jelas kelihatan cahaya lampu pelita menerangi bilik di bahagian dapur rumah tersebut. Tiba-tiba kami tersentak dan berpandangan, jelas suara seorang budak kecil seolah-olah merengek seperti meminta sesuatu. Kami tergamam.

Saya cuba mengamati perbualan tersebut namun masih tidak jelas apa yang diperkatakan mereka. Sedang leka mengamati perbualan dari atas rumah tersebut, tiba-tiba cahaya lampu pelita dipadamkan. Kami bergegas angkat kaki dan beredar dari situ.

Saya bersembunyi di sebalik tempayan besar di tepi tangga anjung rumahnya. Hamdi pula menyorok di sebalik rimbunan pokok bunga raya berhampiran saya. Beberapa ketika kemudian kami terdengar lantai papan rumah Haji Kassim dibuka dari atas. Rumah Haji Kassim memang istimewa kerana ada tangga kecil di bahagian tengah rumahnya.

Sebelum ini saya tidak pernah ambil tahu tentang kegunaan tangga tersebut, namun pada malam ini barulah saya tahu rahsianya. Rupa-rupanya tangga tersebut digunakan oleh ‘sesuatu’ untuk keluar masuk ke rumahnya.

Saya dan Hamdi menunggu dengan penuh debaran. Tidak sampai beberapa saat kemudian kelihatan satu makhluk kecil sedang menuruni anak tangga tersebut. Kami berdua tergamam, jantung berdebar kencang. Kami seolah tidak percaya dengan apa yang dilihat ketika itu.

Saya dapat melihat dengan jelas rupa makhluk tersebut. Tingginya lebih kurang tiga kaki, kepalanya besar sedikit lonjong, matanya merah sebesar guli, telinganya kecil dan cupingnya runcing. Warna kulitnya sedikit kelabu kehijauan.

“Sah ini toyol! Kata Hamdi perlahan. Saya mengangguk. Pandangan saya masih tertumpu ke arah makhluk tersebut yang sedang berdiri di anak tangga. Jelas kelihatan matanya melilau melihat sekeliling.

Tiba-tiba mata makhluk tersebut memandang tepat ke arah tempat persembunyian kami. Jantung saya berdebar kencang. Rasanya seolah-olah makhluk tersebut dapat menghidu kehadiran kami di situ. Hamdi lantas mencuit saya.

“Jommm cabutttt!” katanya sambil berlari meninggalkan tempat persembunyian. Saya yang berada di situ terpingga-pingga dengan tindakan Hamdi. Apa lagi, saya pun terus pasang langkah seribu dan berlari dengan sekuat hati.

Tiba-tiba lampu di anjung dan pekarangan rumah Haji Kassim terpasang cerah. Ketika itu jugalah saya mendengar suaranya melaung ke arah kami.

“Hoiii… siapa yang kacau rumah aku ni… korang nak mati ke?

Sayup terdengar jeritan Haji Kassim. Saya dan Hamdi berlari tanpa menoleh ke belakang lagi. Kami berlari selaju-lajunya. Sehingga sampai ke simpang jalan besar barulah kami berhenti. Tercungap-cungap kami mengambil nafas.

Pak Manap memandang kami dengan pandangan pelik sebaik sahaja kami sampai di warungnya. Dia memandang kami ke atas ke bawah berkali-kali. Hairan dia melihatkan wajah kami yang pucat dan bermandi peluh ketika itu.

“Korang berdua dari mana ni? Jogging tengah-tengah malam ke?” tanyanya penuh hairan.

Kami berdua tidak menjawab pertanyaannya dan hanya tersengih kelat. Fikiran masih ligat memikirkan kejadian yang berlaku sebentar tadi. Memang benarlah apa yang diperkatakan oleh orang kampung sebelum ini. Kini kami sudah melihat dengan mata kepala sendiri.

Namun bagaimanapun kami masih tidak pasti kenapa Haji Kassim membela makhluk tersebut. Nak katakan mencuri duit orang kampung, tidak pernah pula kami mendengar cerita ada orang kampung kehilangan duit. Tapi menurut cerita mereka sebelum ini mungkin toyol belaannya itu ditugaskan untuk menjaga kebun dan tanamannya. Wallahualam.

==================================

Saya dalam cerita tersebut ialah Muhammad Ismadi Amin. Menurutnya, kisah ini berlaku pada 1995 di kampungnya di Perak. Katanya kepada penulis, peristiwa tersebut masih utuh diingatannya kerana dia salah seorang yang bertuah apabila berjaya melihat makhluk bernama ‘toyol’ di hadapan mata sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×