Lebih banyak majikan guna ekonomi gig untuk graduan – MEF - Utusan Malaysia

Lebih banyak majikan guna ekonomi gig untuk graduan – MEF

SHAMSUDDIN BARDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) tidak menolak kemungkinan lebih banyak syarikat di negara ini akan mengguna pakai konsep ekonomi gig untuk menawarkan pekerjaan kepada graduan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan ber­kata, memandangkan momentum pertumbuhan ekonomi yang tidak stabil ekoran peningkatan semula kes Covid-19, rata-rata majikan tidak mampu lagi untuk menggaji pekerja baharu menggunakan cara tradisio­nal yang terikat dengan Akta Kerja 1955.

Beliau berkata, sudah banyak syarikat dan perniagaan terpaksa mengambil pendekatan hanya menggaji pekerja untuk sektor teras manakala sektor-sektor sampingan lain dijalankan secara khidmat luaran.

Katanya, keadaan itu terbukti apabila berlaku peningkatan ketara individu yang bekerja dalam ekonomi gig kepada 2.8 juta orang berbanding hanya 500,000 orang sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Sebenarnya, banyak syarikat menuju kepada cara sedemikian. Mereka ambil orang bukan sebagai pekerja tetapi sebagai penyedia atau pembekal perkhidmatan dan barangan.

“Ini adalah salah satu cara untuk kita mengekang peningkatan kos dan terus bernafas. Kalau tidak, mungkin menjadi sukar dan terpaksa mengurangkan pekerja yang ramai dan mungkin gulung tikar,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan kira-kira 300,000 graduan baharu memasuki pasaran pekerjaan pada tahun ini dan Kementerian Pengajian Tinggi menjangkakan hanya 25 peratus atau kira-kira 75,000 sahaja yang akan menganggur.

Namun, pihak industri tidak dapat memberi jaminan dapat menyediakan pekerjaan kepada baki kira-kira 225,000 graduan terbabit ekoran situasi ekonomi yang tidak memberangsangkan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN