
Pada era di mana sebahagian besar masyarakat terperangkap dengan nilai kebendaan, itulah juga yang menjadi ukuran untuk menilai kejayaan seseorang.
Bukan suatu yang luar biasa apabila ada yang mengukur kejayaan seseorang daripada jenis dan harga kereta yang digunakan, lokasi dan jenis rumah yang didiami serta pangkat atau jawatan.
Tidak ketinggalan gelaran-gelaran yang dianugerahkan kerana ‘jasa’ individu berkenaan.
Sudut pandang kebendaan memang sudah mendasar dalam masyarakat dan memberi pengaruh yang bukan kecil kepada individu. Mereka terbentuk daripada cara masyarakat menilai kejayaan hidup yang kemudian menjadi impian untuk menggapai simbol-simbol kebendaan itu.
Dalam masyarakat yang melihat kebendaan dan status sosial sebagai ciri-ciri kejayaan hidup, itulah pembaris yang digunakan untuk menilai individu. Kejayaan yang dinilai dari sudut ringgit dan sen. Kejayaan memiliki ilmu semakin tidak dipedulikan dan akhirnya terkeluar dari senarai keutamaan hidup.
Untuk mendapat penghormatan juga sanjungan, maka peragakanlah sebanyak mungkin benda-benda yang ada – kereta mewah dan rumah agam siap dengan kolam taraf Olimpik. Tidak cukup lagi, kena menguar-uarkan pelancongan mewah di luar negara dan premis-premis yang menjadi tumpuan selebriti dunia.
Hebat. Dunia lihatlah kejayaan aku, demikian kata jiwa bersorak gembira apabila matlamat hidup sudah tercapai. Tetapi sebenarnya kejayaan hidup semestinya membawa banyak makna, bukan sahaja untuk diri, malah agama, masyarakat dan juga negara.
Dalam masyarakat yang tersihir kemilau kebendaan, individu yang mempunyai ilmu yang tinggi, kemudian disebarkan kepada masyarakat untuk mencorakkan kehidupan yang sejahtera, tidak dianggap berjaya. Seorang ilmuwan yang membijaksanakan masyarakat bukan manusia yang berjaya, hanya kerana tidak kaya dari ukuran kebendaan.
Tadika
Pada zaman kegemilangan Islam, individu yang berilmu tinggi dianggap kejayaan besar. Ini kerana ilmu itu bukan sahaja untuk dirinya tetapi menjadi pemangkin untuk membijaksanakan masyarakat pada zamannya dan selepas itu. Tanpa sumbangan ilmuwan, masyarakat akan terperosok dalam kegelapan lalu menjadikan benda sebagai matlamat hidup.
Ketika ini, sesetengah pihak yang mengimpikan pemujaan dan penghormatan akan berusaha untuk kelihatan sebagai orang yang ‘berjaya’ dalam hidup. Tetapi cara yang betul pula selalunya lambat mendapat hasil. Kalau individu yang nipis kesedaran agama dan moral, terbentang banyak jalan yang tidak betul untuk matlamat itu.
Ada yang berusaha dengan jalan betul, tetapi sikap menunjuk-nunjuk pula kalah budak tadika yang teruja memperagakan beg sekolah baharu. Ini juga penyakit yang perlu diubati dengan segera supaya tidak berbangga bukan pada tempatnya.
Oleh yang demikian, tidak hairanlah kalau ada yang baru setahun dua menjalankan ‘perniagaan’ sudah membuat pameran kereta mewah, berderet di depan rumah. Rasukan kebendaan bukan kecil. Kalau tidak ada benteng dari dalam, ditambah pula kemaruk sanjungan pasti akan terbabas.
Masyarakat begini yang sudah tentunya menolak hal-hal kelimuan. Mendiami kota moden dengan pemikiran yang sangat mundur.
Disebabkan mahu mendapat penghormatan daripada masyarakat yang mundur ini telah menjerumuskan banyak individu yang nipis moral memperoleh kejayaan ‘kebendaan’ dengan cara yang salah.
Para ilmuwan termasuk dalam bidang agama tersingkir secara terhormat kerana masyarakat tidak mengukur kejayaan di luar kotak kebendaan. Inilah rupa dan wajah pemikiran sesetengah dalam masyarakat. Kita sedang menuju keruntuhan pekerti dan moral apabila kebendaan menjadi pembaris yang menilai manusia.
hedonisme
Inilah zaman di mana ilmuwan termasuk bidang agama tidak dimanfaatkan dengan selayaknya. Antaranya, disebabkan oleh golongan ilmuwan tidak memperagakan kebendaan kerana ilmu yang dimiliki lebih ‘kaya’ sifatnya sedangkan masyarakat memburu kebendaan.
‘Kaya’ yang dimaksudkan ialah mampu melahirkan masyarakat yang bukan sahaja berilmu, malah mengalirkan ilmunya demi kesejahteraan dan mempertingkatkan nilai keinsanan. Inilah kekayaan yang tidak diungkap oleh masyarakat pemburu hedonisme dan kebendaan.
Lihatlah bagaimana sistem dalam masyarakat yang memberikan ganjaran kepada para selebriti berbanding ilmuwan, misalnya golongan sarjana, sasterawan atau budayawan. Inilah realiti masyarakat kita, hedonisme yang sudah kian ditolak di negara-negara maju dikutip dan dijunjung.
Kemunduran yang membelenggu perlu diatasi segera. Kita tidak menolak kehidupan selesa tetapi bukan kemewahan bermatlamat untuk diperagakan demi sanjungan. Maka masyarakat perlu diubah terlebih dulu sebelum mengubah makna ‘kejayaan’ dalam hidup yang dibumbui kebendaan.
Ini boleh menyumbang pada kurangnya bilangan mereka yang mencari kekayaan dengan jalan yang salah – rasuah, menipu (termasuk scammer) dan aktiviti yang menyalahi undang-undang untuk dilihat berjaya oleh masyarakat. Ironinya, banyak dalam kalangan menengah dan elit juga terasuk menilai hidup dengan cara begini.
Ada dua jenis orang kaya – satu memang kaya tahap ‘gila’, maknanya sangat kaya dengan usaha yang berpuluh tahun lamanya. Jenis ini jarang memperagakan kekayaan. Satu lagi yang ‘gila kaya’, iaitu baru hendak kaya dan teruja memperagakan kekayaan yang pantas macam ‘mi segera’. Ciri-ciri wajib beraksi dengan kekayaan yang ada, tidak kira palsu atau benar.
Kalau setahun dua memulakan perniagaan tetapi kereta mewah mengalahkan taikun yang bergelumang bertahun-tahun, tentulah ada suatu yang tidak kena. Malah lebih memalukan yang membuat pameran ‘kereta mewah’ ini hanya orang Melayu.
Mungkin yang menjadi ‘jutawan segera’ dan ‘gila kaya’ ini terlalu banyak menonton drama pukul tujuh – watak anak muda Melayu baru keluar universiti sudah ada berderet kereta mewah. Hidup penuh dengan keseronokan dan kemewahan palsu tidak lebih eskapisme pada realiti sosial yang perit ketika ini.
PENULIS ialah Editor portal Kuseman.com.










