Gencatan politik, kembali sokong PN - Utusan Malaysia

Gencatan politik, kembali sokong PN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tanda tanya mengenai status sokongan UMNO terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akhirnya terjawab apabila parti itu mengumumkan akan mendukung Perikatan Nasional (PN) dalam memfokuskan agenda membantu negara dan rakyat.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (gambar) berkata, UMNO mengarahkan kepe­mimpinan parti yang berada dalam Kabinet memberi sepenuh tumpuan membantu rak­yat yang terjejas kerana pandemik Covid-19.

Beliau berkata, UMNO turut melakukan gencatan politik bagi memastikan kesusahan dan kegelisahan kerana hambatan ekonomi dapat ditangani dan diutamakan.

“Kerjasama semua parti dalam kerajaan PN harus diperkasakan bagi menjamin kestabilan politik di saat negara menghadapi ancaman Covid-19 dan ketidaktentuan ekonomi negara.

“Mendukung kerajaan dalam kerajaan PN dalam memfokuskan agenda membantu rakyat dan negara mendepani pandemik serta kegawatan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Akhbar ini melaporkan, Muhyiddin dijangka terus kekal sebagai Perdana Menteri yang dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Perdana Menteri juga tidak akan membuat rombakan Kabinet seperti didakwa sebaliknya akan melantik Timbalan Perdana Menteri sebagai penyelesaian terhadap kemelut yang berlaku selepas UMNO mempertimbangkan untuk menarik balik sokongan terhadap PN.

Setakat ini, dua nama disebut-sebut iaitu antara Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ahmad Zahid. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN