Duit sudah habis, baru duduk diam... - Utusan Malaysia

Duit sudah habis, baru duduk diam…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEBERAPA minggu lalu, saya singgah di bandar Melaka. Saya menginap di sebuah hotel untuk bercuti sehari setelah menghantar anak mengambil peperiksaan Malaysian University English Test (MUET) di Labis, Johor.

Ingatkan bercuti dapatlah melapangkan fikiran. Tetapi rupa-rupanya tidak begitu. Kepala saya jadi cukup berserabut pula. Tiba di hotel saya terpaksa menunggu lama naik ke bilik. Hampir satu jam berebut dengan pengunjung lain untuk naik lif. Sebabnya, lif tidak dapat menampung pengunjung yang ramai. Terlalu sesak. Dah sampai ke bilik nak turun semula pun cukup ‘membakar perasaan’. Ambil masa lebih kurang sama.

Saya menghubungi pihak hotel untuk penjelasan. Menurut pekerja hotel berkenaan, itu adalah keadaan biasa setiap kali hujung minggu dan tidak banyak yang mereka boleh lakukan untuk atasi masalah kesesakan lif tersebut. Bukan pasal penjarakan fizikal pun. Orang ramai berpusu-pusu naik walaupun had yang dibenarkan cuma lima orang! Kata pekerja itu, keadaan itu amat luar biasa sibuknya berbanding musim cuti sekolah sebelum musim Covid-19. Percutian hujung minggu begitu ‘menjadi-jadi’ selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bukan setakat itu, semua kedai makan penuh. Beratur lama. Bahkan yang di pinggir-pinggir bandar pun semua full house. Bukan disebabkan kena ikut prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sangat, memang tiada meja kosong!

Melihat semua tempat percutian seolah-olah ada pesta hujung minggu, ia menjentik kepala saya untuk berfikir betapa ketika Covid-19 belum reda ini dan kini kes naik mendadak sehingga tiga angka, orang ramai seolah-olah melupakan bahayanya pandemik yang boleh membunuh itu. Yang penting dapat bercuti dan bersuka ria dengan keluarga. Mungkin ada yang makan angin setiap minggu.

Banyaknya duit! Fikir saya. Tapi kenapa saya mahu kira duit orang lain. Lebih baik kira dan jaga duit sendiri. Mereka ada duit untuk ke sana ke sini, baguslah. Tapi bukan ramaikah yang bising-bising Covid-19 telah menjejaskan pendapatan mereka? Dan mendesak kerajaan berbuat sesuatu membantu meringankan beban mereka.

Terfikir pula saya, adakah sebab ambil moratorium, duit yang sepatutnya disimpan kerana tidak membayar hutang bank dianggap wang lebihan untuk berbelanja dan makan angin? Bukankah ambil moratorium hanya kerana pendapatan terjejas?

Jika begitu tercapaikah matlamat ambil kemudahan itu bagi tempoh enam bulan bermula 1 April lalu?

Pejam celik, bulan ini moratorium tamat. Soalan menyibuk, berapakah wang yang dapat disimpan? Atau bulan ini balik ke asal semula? Mula kena ikat perut semula kerana waktu bersenang lenang sudah habis!

Seorang rakan sekerja memberitahu, dia pun hairan sejak kemudahan moratorium banyak tempat makan yang mahal malah restoran kopi premium yang sebelum ini tenang-tenang saja, dipenuhi pengunjung. Restoran makanan segera yang biasa-biasa jangan ceritalah kepadatannya setiap kali hujung minggu. Adakah semasa pandemik ini berlaku, orang ramai mampu berbelanja lebih berbanding sebelumnya?

Seorang lagi rakan yang membuat kerja perniagaan melalui online juga memberitahu, produk jualannya mendapat sambutan hangat semasa PKP dan PKPP. Keadaan itu jarang berlaku sebelum musim Covid-19.

Bagaimanapun, dia men­jangkakan bila tamat­nya moratorium, orang ramai akan berhati-hati berbelanja.

Apa pun, benarlah moratorium banyak membantu. Membantu orang ramai menyimpan duit di waktu sukar ini dan pada masa sama membantu juga orang ramai pergi bercuti dengan kerap di hujung minggu dan berbelanja lebih. Betulkah begitu?

Kini kes Covid-19 meningkat lagi. Semua kembali bimbang. Yang pasti moratorium sudah berakhir. Bagi yang memanfaatkan moratorium, wang lebih itu tentu memberi kelegaan dan dapat digunakan pada waktu-waktu luar jangka! Dan yang sudah habis duit, boleh pula duduk diam-diam di rumah. Ini biasa lah. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN