Covid-19: Menabung atau beli kereta? - Utusan Malaysia

Covid-19: Menabung atau beli kereta?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN penjualan kenderaan baharu mencatatkan peningkatan yang baik selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia masih tidak serancak tahun 2019.

Antara penyebab peningkatan jualan adalah hasil daripada tindakan kerajaan memperkenalkan moratorium dan juga insentif cukai yang bakal berakhir pada 31 Disember kelak.

Penjualan kenderaan terpakai pula yang melonjak naik sejak tiga bulan kebelakangan ini mungkin kerana ramai tidak mahu berkongsi pengangkutan awam dan mahu memandu kenderaan sendiri.

Menurut Presiden Persatuan Persekutuan Syarikat-Syarikat Motor dan Kredit Malaysia (FMCCAM), Datuk Tony Khor, jualan Julai (berbanding tahun lalu) meningkat lebih daripada 24 peratus kepada 37,800 unit sementara jualan untuk Ogos dan September pula 17 peratus lebih tinggi dari bulan yang sama tahun lalu.

Namun begitu Tony berkata, penjualan semakin menurun pada Oktober kerana tempoh moratorium sudah tamat.

Saya menjangka kadar pembelian kenderaan baharu atau lama akan menurun sedikit bermula pada bulan lalu kerana pengguna sudah tidak ada wang lebihan untuk berbelanja.

Fungsi utama moratorium adalah membantu mereka yang terjejas daripada segi sumber pendapatan. Namun begitu, kesan sampingan yang kita lihat adalah pengguna tempatan mempunyai aliran tunai yang lebih kukuh untuk beberapa bulan lalu.

Ini menyebabkan banyak industri melihat peningkatan daripada segi jualan dan pendapatan. Dari sektor pelancongan sehingga kepada jualan gajet, semua menunjukkan peningkatan jualan berbanding sebelum PKP. Malah, industri motosikal juga melihat penambahan jualan kerana ramai mempunyai lebihan tunai untuk membeli jentera-jentera gaya hidup.

Namun begitu, bila tempoh moratorium berakhir, kegilaan membeli semakin pudar dan hanya bergaji dengan agensi kerajaan atau syarikat besar yang stabil berani berbelanja.

Ini menguntungkan mereka yang mampu kerana dalam tempoh ini adalah masa terbaik untuk membeli kerana wujudnya diskaun harga, insentif cukai, tambahan pakej rangsangan dari syarikat kenderaan sendiri model-model terkini dan pelbagai lagi tawaran dan usaha lain daripada industri itu sendiri.

Model baharu seperti Mitsubishi Xpander, Honda City dan Geely X50 juga membuatkan ramai tak senang duduk. Ini adalah kenderaan dalam julat harga pertengahan dan mempunyai kelompok sasaran terbesar.

Selain masalah berkaitan Covid-19, penjualan kenderaan baharu di negara-negara maju memang sudah melihat penurunan semakin ketara. Ini kerana kos pemilikan kenderaan yang terlalu tinggi dan rumit. Umum rakyat Malaysia hanya melihat kepada harga penjualan kenderaan itu sendiri tetapi di negara maju, kos insurans, harga permit pemilikan, bahan api, tol, kos parkir dan kadar susut nilai yang menjadi beban besar.

Ramai generasi muda di negara-negara maju sudah melihat kepada pilihan pemajakan kenderaan daripada sewa beli dan semakin ramai yang meminati konsep platform perkongsian kenderaan yang mana kenderaan disewa mengikut tempoh masa dan kenderaan boleh diambil dan dipulangkan dari mana-mana `stesen’ yang di merata kawasan bandar.

Ini bermakna mereka tidak lagi mementingkan faktor “saya memiliki kenderaan saya sendiri” tetapi lebih kepada “saya cuma perlu kenderaan untuk bergerak dari poin A ke poin B”.

Fakta ini sudah mula dikesan di Malaysia yang mana semakin banyak syarikat melakukan operasi perkongsian ini. Malah, ia juga sudah mula menular di Indonesia yang mana aplikasi milik anak watan Malaysia, Moovby yang semakin popular. Mooyby menawarkan konsep Air BnB (Peer to peer) tetapi untuk kenderaan.

Pemilik kedai-kedai aksesori juga mula mengeluh kerana kekurangan perniagaan. Tinjauan saya sendiri melihat mereka semakin tertekan dengan jualan barang secara online dan juga pemilik kenderaan sudah tidak lagi mahu menghabiskan wang untuk modifikasi kenderaan.

Pada pendapat saya, ini adalah tanda-tanda Malaysia semakin bergerak ke arah negara maju kerana di negara maju, pemilikan kenderaan bukan lagi disebabkan oleh sifat “saya ada kereta, saya sudah berjaya” tetapi lebih kepada sistem pengangkutan yang efisien.

Ada tiga soalan yang perlu ditanya kepada diri sebelum membeli sebuah kenderaan.

1 Satu keperluan?
Kenderaan sedia ada sudah terlalu lama dan kos membaiki semakin tinggi. Ini memang benar kerana kenderaan akan memerlukan penggantian komponen-komponen besar selepas usia lima tahun. Semakin kompleks kenderaan itu, semakin tinggi kos pemilikan selepas tiga atau lima tahun.

Jadi untuk menurunkan kos, pembelian kenderaan baharu adalah lebih berbaloi kerana ia ada waranti dan kurang risiko rosak ketika menggunakannya. Sekali lagi, untuk yang tidak mahu berbelanja besar dalam kos kenderaan, mereka akan mencari kenderaan paling ringkas, tahan lasak dan punya nilai jual balik yang tinggi.

2 Memiliki sumber pendapatan mapan?
Covid-19 menunjukkan industri yang berkembang pesat dan menjanjikan pendapatan tinggi juga boleh ranap dalam sekelip mata. Jika kita mengambil pinjaman selama sembilan tahun, adakah pasti pendapatan kita akan stabil untuk sekurang-kurangnya lima tahun lagi? Atau adakah kita sepatutnya mengehadkan pinjaman hanya kepada lima atau tujuh tahun sahaja kerana ia lebih memudahkan kita untuk menjual kenderaan itu dan bertukar kepada yang baharu?

3 Mampu menjaganya?
Kemampuan bukan setakat untuk membayar muka dan ansuran bulanan, tetapi kos tanggungan kenderaan itu sendiri. Kita lihat sudah ada pengeluar yang memberikan servis percuma untuk enam tahun, bermakna kurang satu isu kewangan yang perlu dirisaukan. Ramai pembeli yang kerana terlalu mahukan kereta baharu, terlupa atau “buat-buat tak tahu” mengenai kos lain. Tayar bersaiz 19-inci tidak akan memberikan pulangan bahan api yang rendah dan harga untuk menggantikannya tidak akan semurah tayar Kancil. Transmisi dwi-kac tidak akan selasak transmisi torque-converter biasa. Enjin turbo tidak akan selasak enjin aspirasi normal biasa.

Adakah sudah bersedia atau perlu mengorbankan wang simpanan keluarga demi sebuah jentera yang akan menjadi obsolete (tidak relevan) selepas beberapa tahun?

PENULIS ialah penganalisis automotif.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN