
Tular dalam media sosial baru-baru ini perihal luahan seorang ibu dalam akhbar tentang keberadaan guru selepas waktu sekolah. Dia mempersoalkan, kenapa guru tidak mengawal selia murid-murid usai loceng pulang sekolah berbunyi. Saya seorang guru turut berkongsi dalam Facebook, tentang apa yang saya buat setelah tamat sesi persekolahan.
Biasanya, anak saya di sekolah menengah juga menunggu lama saya mengambilnya dan kadang-kadang hanya tinggal dia masih belum balik.
Makanya, kita semua sibuk dan ada komitmen masing-masing yang perlu dilunaskan. Komitmen kita penuh setiap hari dengan pelbagai tanggungjawab.
Di musim pandemik Covid-19 ini, guru perlu laksanakan tugas mengikut prosedur operasi standard (SOP) dalam norma baharu yang ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Pendidikan. Semua tindak tanduk dan perlakuan perlu berlandaskan SOP ditetapkan. Ini bagi mengelakkan penularan pandemik ini dalam kalangan warga sekolah.
Justeru, guru perlu melaksanakan proses kehadiran murid dengan cermat. Guru perlu mencatat suhu murid, membuat imbasan kod QR atau menggunakan aplikasi Datang Reader. Proses ini mengambil masa bila bilangan murid lebih 600 orang hanya untuk sesi petang sahaja. Bayangkan, jika keseluruhan murid satu sekolah yang berjumlah 1,300 orang.
Selepas disaring, murid perlu dikumpulkan dalam jarak fizikal yang ditetapkan sebelum dibenarkan masuk kelas. Proses sanitasi kelas perlu dilakukan guru sesi pagi sebelum murid sesi petang pula menggunakan kelas itu.
Tiba waktu rehat, guru perlu mengagihkan makanan yang dipesan dari kantin dan perlu berada di dalam kelas memantau murid makan. Kadang-kadang pula, jika ada murid tiada makanan, cikgu bermurah hati membelikan makanan untuk mereka. Tugas yang jarang guru tularkan dalam media sosial.
Bayangkanlah di dalam kelas ada murid seramai 36 orang, adalah cabaran besar untuk guru mengajar murid tentang penjarakan fizikal. Jika guru sekolah menengah yang mengajar Tingkatan 5 pun lelah nak ingatkan, apatah lagi saya yang mengajar murid Tahun 2.
Apabila tiba waktu pulang, cabaran besar hendak mengasingkan murid jika ibu bapa lewat ambil. Mereka biasanya berkeliaran dalam kawasan sekolah, bermain kejar-kejar dan memang bersentuhan. Tak mampu guru untuk kawal kerana jumlahnya ramai.
Apa yang boleh, guru akan menegur jangan bermain dan duduk di kawasan ditetapkan hingga ibu atau bapa sampai.
Hakikatnya, memang banyak kekangan yang perlu guru hadapi dalam melaksanakan tugasan ini. Masalah kawasan sempit, mentaliti anak murid yang masih kecil, tenaga kerja terhad dan pelbagai lagi kekangan lain.
Dalam keadaan begini pun, guru terpaksa pula melayani permintaan ibu bapa melalui group WhatsApp dengan pesanan yang kadang-kadang, tak perlu jika mereka pastikan anak faham tanggungjawab masing-masing.
Bila wujud group WhatsApp kelas, maklumat yang sepatutnya penuh dengan pemberitahuan tentang soal pengajaran dan pembelajaran, sebaliknya menjadi arahan daripada ibu bapa meminta bantuan guru yang tiada kaitan dengan pembelajaran.
“Cikgu, nanti tolong tengokkan botol air Tupperware anak saya ya.”
“ Cikgu, tolong ingatkan anak saya supaya makan bekal yang saya bagi ya.”
“ Cikgu, anak saya batuk. Ubat dalam beg. Nanti minta bagi dia makan ubat ya.”
Ini sebahagian daripada banyak lagi contoh permintaan ibu bapa. Tidak semua, namun trend sebegini semakin berleluasa.
Saya tidak pasti apa yang difikirkan oleh kelompok ibu bapa yang gemar memberi arahan sebegini.
Saya pasti guru cuba melayan sebaik mungkin apa juga permintaan ibu bapa. Saya pasti ramai guru bersetuju, makin banyak cabaran hendak mendidik sekarang ini.
Saya selalu mengingatkan dalam penulisan, agar saya lebih memahami akan keperluan orang lain daripada saya cuba meminta-minta sesuatu yang sukar untuk dipenuhi sesiapa. Oleh itu juga, saya ingin mengajak pembaca merasakan bahawa kalian adalah seorang guru.
Guru yang ada 36 orang anak murid, ada 36 ragam yang perlu dilayan ditambah dengan kerenah ibu bapa yang semakin sukar hendak difahamkan. Bahu cikgu sebenarnya terbeban dengan pelbagai tugasan bukan pengajaran dan pembelajaran yang itu sepatutnya menjadi core business kami.
Namun kini, guru terpaksa berdepan dengan pelbagai tugasan bagaikan pembantu taska atau pembantu rumah. Jangan terkejut, jika ke hospital, ramai pesakit yang mendapat rawatan penyakit darah tinggi adalah guru!
Sesungguhnya, di musim pandemik Covid-19 ini, kita semua, baik guru dan ibu bapa, wajar berganding tenaga memastikan anak-anak selamat dan dapat belajar di sekolah dalam keadaan kondusif. Ini adalah masa yang sangat sukar bagi kita semua. Tak perlu berdebat tentang isu yang boleh mendatangkan pertengkaran dan sindir menyindir.
Apatah lagi menggunakan media sosial menghangatkan suasana. Sebaiknya, gunakanlah media sosial untuk berkongsi cerita yang baik-baik sahaja. Kisah yang boleh memberi teladan.
Kitakan bangsa yang merdeka? Kitakan dulu pernah sekolah? Ingat lagi tak apa cikgu kita dulu-dulu pesan? Banyakkan pesan cikgu kita dulu?- Jadi bila ada yang tanya cikgu buat apa tu? Kadang-kadang cikgu terpaksa buat bodoh. Benar.
PENULIS ialah seorang guru.










