Aku tak nak mati, aku nak enjoy.... - Utusan Malaysia

Aku tak nak mati, aku nak enjoy….

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hari itu saya diminta membawa pulang jenazah seorang pemuda berusia lingkungan awal 20-an dari Kuala Lumpur untuk dikebumikan di kampungnya di Gerik, Perak. Saya difahamkan pemuda ini meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya apabila kereta dinaiki mangsa berlanggar dengan sebuah lori.

Sebenarnya saya tidak begitu berminat untuk ambil tahu sebab musabab seseorang itu meninggal dunia kerana secara tidak langsung ia boleh mengganggu fikiran saya ketika perjalanan, namun cerita kematian pemuda ini sudah mula menjadi buah mulut rakan-rakannya di hospital.

Antara cerita yang saya dengar, sebelum ditimpa kemalangan pada malam itu arwah baru sahaja selesai meraikan majlis hari jadi bersama rakan-rakannya di sebuah kelab di ibu kota.

Menurut ceritanya lagi ketika pulang arwah masih berada dalam keadaan khayal kerana terlalu banyak mengambil minuman keras sehinggalah kereta yang dipandunya mengalami kemalangan.

Perjalanan hari itu itu ditemani oleh Hasri yang merupakan teman baik saya. Memang selama ini dialah yang sering menemani saya menghantar jenazah ke mana-mana. Walaupun masih bujang namun dia cukup ringan tulang, jauh mana pun dia memang tidak pernah bersungut.

Tidak sampai dua jam perjalanan, perbualan rancak kami terganggu apabila terdengar sesuatu yang aneh dari dalam kenderaan. Bunyi seakan-akan suara orang sedang mengerang dan berdengkur jelas kedengaran. Saya lantas memperlahankan dan cuba memasang telinga untuk mendengar dengan lebih jelas.

Hasri memandang saya dengan penuh tanda tanya. Saya meletakkan isyarat jari di bibir mengarahnya diam. Berkerut dahi saya cuba mengamati suara tersebut.

Sah! Bunyi itu datangnya dari arah belakang atau dengan lebih tepat lagi datang dari jenazah yang saya bawa. Serta-merta bulu roma saya meremang.

Wajah Hasri serta-merta pucat. Dia merenung saya tanpa sepatah kata. Saya cuba bertenang dan mengawal perasaan kerana tidak mahu pemanduan saya terganggu ketika itu. Saya tahu andai saya tidak kuat semangat, pasti akan berlaku kejadian yang tidak diingini pula.

Bunyi suara berdengkur dan mengerang di belakang semakin lama semakin kuat kedengaran. Adakala nadanya bertukar menjadi sayu seolah-olah seperti meminta simpati. Saya dan Hasri berkumat-kamit membaca ayat suci al-quran, dalam hati kami masing-masing berdoa dan bermohon agar dijauhkan daripada sebarang gangguan ketika itu.

Dengan penuh berhati-hati saya memperlahankan kenderaan dan berhenti di bahu jalan. Aneh! suara yang saya dengar berulang kali seketika tadi hilang tiba-tiba. Saya dan Hasri berpandangan.

Berbagai-bagai persoalan menerjah di benak fikiran kami ketika itu, namun secara jujurnya saya menarik nafas lega kerana sekurang-kurangnya kami dapat meneruskan perjalanan dalam keadaan selesa selepas ini.

Namun tidak sampai 10 minit kami meneruskan perjalanan, suara misteri itu muncul kembali, tetapi kali ini lebih jelas sehingga membuatkan kaki saya menggeletar. Saya lihat Hasri semakin tak keruan, wajahnya tampak gelisah seolah-olah seperti ingin terjun dari kenderaan yang saya pandu.

Bunyi dengkuran yang kami dengar ketika itu tidak ubah seperti bunyi seekor lembu yang sedang meminta nyawa ketika baru selesai disembelih. Demi Allah, saya tidak pernah mengalami peristiwa yang menakutkan seperti malam itu, rasanya nyawa saya seperti direntap keluar dari jasad.

“Krohhhhh… krohhhh…. krohhhh…..” bunyi dengkuran tersebut bergema di dalam kenderaan. Tangan saya menggigil memegang stereng. Hasri bingkas melaungkan azan walaupun suaranya tenggelam timbul dan tersekat-sekat akibat melawan perasaan takut yang menguasai dirinya ketika itu.

“Tolong… tolong… tolong aku… aku tak nak mati… aku nak enjoy… aku tak puas enjoy lagi… “ sepatah-sepatah ayat tersebut keluar dari celahan suara garau yang bergema di kenderaan ketika itu.

Suara itu cukup sayu seolah-olah menagih belas kasihan agar dipulangkan nyawanya kembali.

Saya tergamam terasa seolah-olah langit runtuh menghempap saya. Jantung saya berdegup kencang dan seluruh anggota saya menjadi kejang dan sejuk. Saya tidak tahu apa yang harus dilakukan ketika itu kecuali tangan yang memegang stereng serta sepasang mata yang merenung jalan raya di hadapan. Fikiran saya kosong ketika itu seolah-olah berada di alam mimpi, saya juga sudah tidak ambil pusing apa yang terjadi kepada Hasri di sebelah saya.

Suara rintihan meminta simpati itu semakin lama semakin sayup hilang dari pendengaran, saya meneruskan pemanduan dengan cermat dan perlahan, takut pula jika bunyi yang saya dengar tadi berulang kembali.

Saya melihat jam di tangan, sudah hampir 11.00 malam. Saya menoleh ke arah Hasri, saya lihat dia masihi dalam keadaan pucat sambil mulutnya berkumat-kamit membaca sesuatu. Suasana di jalan raya ketika itu cukup lengang hanya sesekali van yang saya pandu berselisih dengan beberapa kenderaan lain.

Ketika melintasi susur keluar ke Ipoh barulah keadaan kembali tenang dan terkawal. Kesibukan lalu lintas di jalan raya sedikit sebanyak menghilangkan rasa takut yang terbuku di hati.

Saya menarik nafas lega dan kami mula berbual seperti tidak ada apa-apa yang berlaku walaupun perasaan masih diasak oleh kejadian yang baru menimpa kami itu.

Alhamdullillah, akhirnya van yang saya pandu selamat juga sampai ke rumah keluarga arwah. Seluruh warga keluarga dan sanak saudara arwah menyambut ketibaan kami. Saya dan Hasri membantu membawa jenazah masuk ke dalam rumah kerana mereka merancang untuk mengadakan majlis pengebumian keesokan paginya.

Ketika memindahkan jenazah dari keranda ke ruang tamu, saya dan Hasri mencuri pandang untuk melihat keadaan jenazah. Alhamdullillah, jenazah berkeadaan cukup sempurna sama seperti mana yang kami ambil di hospital tadi.

Selesai urusan, kami meminta diri untuk pulang semula ke Kuala Lumpur. Sepanjang perjalanan kami lebih banyak mendiamkan diri. Kejadian tersebut benar-benar menghantui kami sehinggakan kami tidak tahu untuk memulakan cerita.

Keesokannya Hasri tidak datang kerja kerana menurut penyelianya dia diserang demam panas.

Saya hanya mengangguk faham. Tidak keterlaluan jika saya katakan apa yang berlaku padanya ketika ini ada kaitan dengan peristiwa yang kami lalui bersama malam tadi.

 Kisah ini diceritakan semula oleh Muhammad Razali Haniff yang pernah bertugas sebagai pemandu van jenazah. Nama dan lokasi arwah terpaksa diubah demi menjaga aib dan nama baik keluarga. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN