
DI Sweden ahli-ahli parlimen mereka sentiasa berada dalam radar orang ramai. Langsung tidak boleh melakukan kesilapan, jika tersalah langkah dengan pantas mereka menjadi bahan berita.
Sebab itu mereka tidak mempunyai kereta rasmi atau pemandu peribadi. Semua pergerakan perlu menggunakan pengangkutan awam. Sama seperti rakyat biasa, mereka kena naik turun bas atau menggunakan pengangkutan rel yang digunakan rakyat marhain lain.
Malah menteri Kabinet negara itu juga diberikan layanan sama seperti orang biasa. Tidak ada kenderaan bersama pemandu peribadi. Perlu menggunakan pengangkutan awam untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat.
Menurut laporan The Guardian, pejabat mereka kecil saja sekitar lapan meter persegi. Andai ada ahli politik yang membelanjakan wang untuk naik teksi dan bukannya menggunakan perkhidmatan rel, ia akan menjadi tajuk utama berita.
Di Sweden hanya perdana menteri, yang hidupnya agak mewah kerana ada kereta bersama pemandu peribadi selain ada pengiring keselamatan.
Ini menunjukkan menjadi ahli politik di negara itu bermakna mereka perlu betul-betul berkhidmat kepada rakyat. Setiap pergerakan dan perbuatan mereka diperhatikan. Ada sikit sahaja kesilapan rakyat akan menghukum mereka serta-merta.
Humban ke tong sampah
Satu lagi insiden menarik membabitkan ahli politik adalah yang berlaku pada 2014 di Kiev, Ukraine. Kerana marah dengan tindakan seorang ahli parlimen, orang ramai menangkap, lalu mengaraknya sebelum dihumban ke dalam tong sampah. Orang ramai bertindak demikian kerana tidak puas hati dengan peranan ahli parlimen itu yang membentangkan rang undang-undang menyekat kebebasan bersuara.
Kebelakangan ini pun kemarahan rakyat negara ini terhadap orang politik tidak kurang hebatnya. Ini ekoran perbuatan dwistandard mereka yang dikaitkan dengan penularan wabak Covid-19 yang semakin serius.
Semalam, kes positif harian yang dicatatkan adalah yang paling tinggi sejak wabak itu melanda negara ini. iaitu 317 kes. Sedangkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan angka paling tinggi ialah 275 kes, iaitu pada Jun.
Majoriti yang menjadi penyumbang kepada peningkatan penularan ini dikatakan daripada mereka yang baru pulang sama ada untuk berkempen atau mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Rakyat berang kerana ada ahli politik terbabit langsung tidak mengambil kisah akan prosedur operasi standard (SOP) yang mereka sendiri tetapkan. Bayangkan, baru tiga hari balik dari Sabah, sudah ada yang tanggalkan gelang merah jambu dan keluar lepak dan minum-minum di khalayak ramai.
Bukankah kuarantin untuk Covid-19 ini 14 hari walaupun diuji negatif? Tetapi kenapa ada ahli politik yang kuarantinnya tiga hari? Wartawan Utusan di Alor Setar walaupun diuji negatif, tetapi tetap menjalani kuarantin 14 hari. Malah dalam tempoh 14 hari itu dia juga langsung tidak bergaul dengan anak-anak dan isteri. Ini baru kurantin atau pengasingan.
Ada pula ahli politik yang tahu dirinya positif Covid-19 tetapi membiarkan isteri yang juga seorang guru pergi ke sekolah. Akibatnya satu sekolah perlu lakukan ujian calitan termasuk anak-anak yang tidak mengerti apa-apa. Itu yang berlaku di Sekolah Kebangsaan Permatang Janggus di Penaga.
Hanya 132 orang yang pulang dari Sabah positif
Ada yang mengatakan tidak adil untuk meletakkan kesalahan peningkatan kes itu kepada orang politik semata-mata. Ini kerana statistik menunjukkan hanya 132 orang sahaja yang pulang dari Sabah positif Covid-19, dan bukan semua mereka itu orang politik. Tetapi ada di antara yang positif itu ialah pemimpin politik.
Apabila bergelar orang politik dan berjawatan pula dalam kerajaan sudah tentulah tumpuan lebih kepada mereka. Sebab itu, ada istilah kepimpinan melalui teladan. Apabila sudah jadi pemimpin teladan yang ditunjukkan mesti baik. Kalau rakyat kena patuh SOP, mereka juga perlu patuh pada SOP. Kalau rakyat kuarantin 14 hari, semua kena kuarantin 14 hari.
Malah difahamkan lebih 700 anggota polis dari semenanjung yang bertugas di PRN sabah kini menjalani kuarantin 14 di merata tempat. Mereka belum sempat bertemu keluarga pun.
Rakyat jaga rakyat
Difahamkan munculnya tanda pagar #rakyatjagarakyat juga akibat daripada kecewaan akar umbi dengan sikap beberapa orang politik yang bebas melanggar SOP tetapi terlepas daripada hukuman.
Ini adalah sebahagian daripada luahan kekecewaan yang hidup mereka sudah banyak terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu hingga kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sekarang.
Luahan itu menunjukkan mereka tidak mampu untuk mengharungi satu lagi pusingan PKP yang kesannya tentu lebih buruk.
Lagi pula, kerajaan telah melakukan pelbagai ikhtiar dan mengumumkan bermacam-macam insentif bagi membantu rakyat yang terjejas. Jangan kerana sikap segelintir pemimpin yang tidak berdisiplin ini merosakkan segala usaha baik yang dilakukan oleh kerajaan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berulang kali mengingatkan kita belum menang dalam menentang Covid-19 ini. Oleh itu, semua pihak tidak boleh ambil mudah. Tidak kira pangkat dan kedudukan, kita semua wajib patuhi SOP ditetapkan.
Ingatlah kita semua belum menang. – MINGGUAN MALAYSIA










