SHAH ALAM: Hampir empat juta penduduk Selangor dan Lembah Klang masih menunggu bekalan air bersih yang terputus sejak kelmarin walaupun beberapa kawasan kembali pulih.
Kira-kira sejuta penduduk iaitu dalam 460 kawasan atau 36 peratus dari 1,292 kawasan dilaporkan sudah menerima bekalan dan mendapat air sepenuhnya setakat pukul 12 tengah hari semalam.
Pun begitu, rata-rata penduduk Selangor dan Lembah Klang masih marah dengan masalah bekalan air yang kerap membelenggu penduduk setiap tahun.
Malah, ia juga seperti acara tahunan di negeri yang merupakan paling maju dalam negara.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Elina Baseri berkata, sebanyak 832 kawasan lain di negeri itu bagaimanapun masih dalam proses pemulihan.
“Pemulihan bekalan air di Hulu Selangor kini mencecah 88 peratus, diikuti Kuala Selangor (77 peratus), Gombak (42 peratus), Petaling (37 peratus) dan Klang/Shah Alam (tujuh peratus).
“Namun Kuala Lumpur dan Kuala Langat masing-masing masih berada pada sifar peratus,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Kelmarin, sebanyak 1,292 kawasan di Selangor berdepan dengan gangguan air disebabkan pencemaran sumber air mentah yang dikesan di Sungai Selangor pada pukul 2 pagi.
Sehubungan itu, operasi Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihentikan.
Gangguan bekalan air tidak berjadual itu melibatkan 1,196,457 akaun merangkumi kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.
Tambah Elina, pengguna juga dinasihat membiarkan air pili mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.
“Selain itu, kita berharap para pengguna yang mendapat bekalan air akan menggunakannya secara berhemat. Langkah ini bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan.
“Bantuan bekalan air alternatif di pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) masih disediakan untuk kemudahan para pengguna yang terjejas,” ujarnya.
“Air Selangor terus menggerakkan sebanyak 121 buah lori tangki air ke premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan kawasan perumahan yang terjejas.
“Pengguna boleh mendapatkan bantuan bekalan air melalui pili-pili awam dan pusat khidmat setempat (PKS) yang disediakan untuk kemudahan pengguna semasa tempoh pemulihan bekalan air,” kata Elina. – UTUSAN ONLINE










