KUALA LUMPUR: Pelakon, pengacara popular dan usahawan terkenal merupakan antara 10 selebriti yang berada dalam senarai terkini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes penipuan Macau Scam serta judi dalam talian.
Sumber berkata, mereka diminta hadir ke Ibu pejabat SPRM di Putrajaya dalam masa terdekat untuk diambil keterangan.
“Antaranya termasuk dua artis wanita dan lelaki yang juga merupakan pengacara dan pelakon terkenal.
“Ramai lagi akan dipanggil kerana mereka diperlukan untuk membantu siasatan penipuan Macau Scam dan judi dalam talian,” katanya di sini semalam.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan sebanyak sembilan instafamous termasuk dua lelaki diambil keterangan oleh SPRM selepas hampir dua minggu tempoh diberikan agensi tersebut untuk mereka tampil secara sukarela.
Menurut sumber, kesemua mereka yang berusia 25 hingga 32 tahun itu dirakam percakapan di hadapan pegawai penyiasat SPRM kira-kira pukul 3 petang, kelmarin.
“Ada yang hadir di pejabat SPRM, ada yang diambil di luar,” ujarnya.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki meminta semua selebriti dan ahli perniagaan terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram supaya tampil membantu siasatan.
Menurutnya, mereka sewajarnya memberikan kerjasama dan mematuhi arahan itu bagi mengelakkan ditahan dalam masa terdekat.
“Tidak kira selebriti atau siapa pun dan mana-mana pihak yang pernah menerima (dana sindiket) daripada individu yang ditahan SPRM diminta tampil sebelum kami panggil,” katanya.
Pada 1 Oktober lalu, beberapa selebriti termasuk pelawak dan penyampai radio terkenal telah dipanggil agensi tersebut bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram.
Ekoran itu, dalang utama kes penipuan Macau Scam, melibatkan individu yang menggunakan gelaran Datuk Seri palsu terbongkar.
Individu terbabit yang dikatakan perancang utama kegiatan tersebut di negara ini sedang diburu polis.
Sindiket terbabit juga didakwa menyogok polis dan orang berpengaruh antara RM2 juta hingga RM4 juta sebulan bagi melindungi kegiatan jenayahnya itu. – UTUSAN ONLINE










