Taman tema Dinosaur World tarikan terbaharu Zoo Melaka - Utusan Malaysia

Taman tema Dinosaur World tarikan terbaharu Zoo Melaka

ZOO Melaka menjadi tumpuan pengunjung pada cuti umum sempena Hari Malaysia, semalam. – UTUSAN/ DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Zoo Melaka bakal membuka taman tema Dinosaur World terbesar di Asia Tenggara yang dijangka mampu meningkatkan jumlah kehadi­ran pengunjung lebih 50 peratus pada November ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Shadan Othman berkata, sebahagian pembinaan taman tema itu di atas tanah seluas 25.9 hektar telah siap dan kini pihak­nya sedang melakukan proses reka bentuk.

“Projek taman tema ini merupakan kolaborasi MPHTJ dengan syarikat swasta bagi mewujudkan pameran pelbagai spesies dinosaur berbentuk robotik yang akan memberikan pendidikan dan pengetahuan kepada pengunjung.

“Secara tidak langsung pe­ngunjung yang terdiri daripada peringkat dewasa dan kanak-kanak berpeluang mempelajari mengenai makhluk purba yang telah pupus di dunia,” katanya selepas maj­lis penyampaian hadiah Zoo Treasure Hunt sempena Hari Malaysia di Zoo Melaka Ayer Keroh, semalam.

Jelasnya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) Jun lalu sehingga kini, Zoo Melaka menerima kira-kira 60,000 pe­ngunjung dan jumlah itu dijangka meningkat 50 peratus dengan pembukaan taman tema tersebut.

“Kita jangkakan jumlah pengunjung akan mencecah 100,000 November ini. Selain taman tema kita ada pameran burung peringkat antarabangsa serta penambahan tiga ekor orang utan.

“Kerja-kerja pembinaan pa­me­ran burung juga sedang dilakukan, selain membawa ma­suk tiga ahli keluarga baru orang utan dengan dua ekor dari Zoo Taiping dan seekor lagi dari Zoo A’ Famosa Resort,” katanya.

Jelasnya, ketiga-tiga tarikan baharu itu merupakan persiapan Melaka untuk menerima jumlah tinggi pengunjung pada musim cuti sekolah November ini.

“Harga tiket sudah semesti­nya akan mengalami sedikit pertambahan kerana pembukaan tiga pameran baharu ini, namun kita masih belum memutuskannya lagi,” katanya.

Ketika ini, tiket kemasukan dewasa dijual pada harga RM25 manakala kanak-kanak RM15 dan pakej keluarga iaitu RM64 bagi dua dewasa serta dua kanak-kanak. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN