Tak sanggup lagi hadapi banjir - Utusan Malaysia

Tak sanggup lagi hadapi banjir

RUMAH seorang penduduk Kampung Parit 3 Alor Setanggok, Semanggol, Perak yang dinaiki air, baru-baru ini. – GAMBAR IHSAN APM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Penduduk Kampung Parit 3, Alor Setanggok Semanggol, di sini yang terjejas akibat banjir baru-baru ini menggesa kerajaan membina benteng tebatan di kawasan itu.

Menurut penduduk, benteng tebatan banjir dapat mengelak air sungai memasuki kawasan penempatan penduduk pada musim tengkujuh dan jika berlaku air pasang.

Seorang penduduk, Maznah Sain, 65, berkata, dia tidak sanggup lagi untuk menghadapi banjir yang kerap berlaku, malah tahun ini sahaja dua kali kediaman mereka dinaiki air.

“Banjir kilat disebabkan air sungai di belakang rumah penduduk melimpah.

“Jika dibuat benteng tebatan banjir, mungkin masalah ini tidak berlaku,” katanya ketika ditemui di sini.

Siti Khadijah Adol, 38, berkata, banjir kilat baru-baru ini menyebabkan barang-barang rumahnya rosak terkena air.

Katanya, ketika kejadian, air memenuhi dalam rumahnya terlalu cepat sehinggakan dia dan keluarga tidak sempat untuk mengalihkan barang-barang ke tempat yang tinggi.

“Jika banjir, rumah saya yang pertama dimasuki air kerana terletak paling hampir dengan sungai,” katanya.

Sementara Ozeman Jelani, 52, berkata, banjir juga dipercayai akibat sistem saliran air peparitan atau ban yang terjejas.

“Saya harap pihak yang ber­kenaan dapat mengambil tindakan yang segera bagi menyelesaikan isu banjir di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Jawatankuasa Sementara Pembangunan Kampung (JSPK) Parit 3, Alor Setanggok, Muhamad Hafizi Emran berkata, masalah itu sudah dimaklumkan kepada pihak yang berkenaan.

“Saya berharap satu tindakan segera dapat diambil untuk menyelesaikan masalah banjir di sini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN