Sukar dapat kerja, lelaki tertinggi di Malaysia ternak udang kara - Utusan Malaysia

Sukar dapat kerja, lelaki tertinggi di Malaysia ternak udang kara

Mohd. Azli Hisyam Abdul Ghafar (kiri) yang mempunyai ketinggian tubuh badan sering letih, kerap berpeluh dan tidak boleh berdiri lama. - UTUSABN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Ekoran sukar mendapat perkerjaan, manusia paling tinggi di negara ini, Mohd. Azli Hisyam Abdul Ghafar memilih menjadi penternak udang kara di rumahnya di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 3, di sini.

Pemuda berusia 26 tahun itu berkata, dia bermula de­ngan menternak enam ekor udang kara dan kini membiak semakin banyak sehingga mencecah 2,000 ekor.

Katanya, usahanya itu turut dibantu abang dan bapanya yang banyak memberi semangat serta dorongan.

“Saya menternak udang kara dalam bangunan khas yang disediakan Risda untuk projek itu,” katanya di sini semalam.

Mohd. Azli Hisyam yang digelar ‘Panjang’ itu berkata, ke­lebihan menternak udang kara adalah memperoleh hasil selepas tempoh tiga hingga empat bulan dan kosnya murah jika diternak sendiri di rumah.

Katanya, harga udang kara juga tinggi dengan boleh mencecah RM120 sekilogram ketika ini.

“Saya membuat pilihan menjadi penternak dan usahawan kerana tidak dapat pekerjaan lain termasuk di jabatan kerajaan atau swasta walaupun ada membuat permohonan.

“Saya mahu menjadi anggota tentera tetapi ketinggian badan 2.2 meter menyebabkan hilang kelayakan,” katanya.

Tambahnya, fokusnya ketika ini adalah menambah pendapatan keluarga dan membantu ibunya, Halimah Kunju Mohamad, 63, serta bapanya Abdul Ghafar Omar, 74.

“Saya belum mempunyai teman wanita dan tidak berhasrat untuk bercinta dalam masa terdekat.

“Kemungkinan ketinggian fizikal saya menyebabkan kebanyakan perempuan takut untuk dekat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN