Siapa lebih layak jadi Ketua Menteri? - Utusan Malaysia

Siapa lebih layak jadi Ketua Menteri?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU siapa yang layak menjadi calon Ketua Menteri Sabah dipercayai akan digunakan oleh parti-parti yang bersaing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 ini.

Pengumuman bahawa Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Datuk Hajiji Noor akan diangkat sebagai calon Ketua Menteri jika dipersetujui parti-parti lain dalam Gabungan Rakyat Sabah, dijangka menjadi `api dalam sekam’ dan pasti menjadi isu yang akan dimainkan pihak tertentu untuk memesong sokongan pengundi.

Perdebatan siapa bakal menerajui negeri ini dijangka lebih panas terutama di pertengahan kempen PRN selama 14 hari dan mencapai kemuncak menjelang tiga, atau empat hari sebelum pengundi keluar mengundi pada 26 September ini.

Siapa bakal Ketua Menteri Sabah adalah isu besar sehinggakan rangkap “siapa ketua menteri’ diungkapkan Presiden Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ketika pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah 30 Julai lalu.

“Saya yakin rakyat Malaysia di Sabah tahu siapa mereka mahu pilih sama ada Musa, Anifah, Bung, Hajiji atau saya untuk menjadi pemerintah Sabah.

“Mereka kata kita gagal dalam dua tahun pemerintahan tetapi mereka lupa mereka sudah perintah selama 60 tahun tetapi masih gagal. Ada orang terlepas daripada SPRM, dia ada duit dan duit itu diguna beli orang,” kata Mohd. Shafie yang saya petik dari siaran sebuah stesen televisyen.

Tetapi ada satu lagi versi yang tidak menyelitkan nama Anifah, disebut Mohd. Shafie:

“Walaupun DUN dibubarkan, saya masih caretaker dalam tempoh 60 hari. Sampai waktu diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mari kita undi. Pilihan kena tepat sama ada pilih si (Tan Sri) Musa Aman, (Datuk Seri) Bung Moktar, (Datuk) Hajiji atau Shafie Apdal.”

BUNG MOKTAR RADIN

Hakikatnya, Sabah masih bergelut dengan politik pembangunannya. Dan sehingga bila-bila Negeri Di Bawah Bayu itu memerlukan ketua menteri yang rapat dengan kerajaan Pusat. Sabah masih tidak sempurna walaupun pentadbirnya sebelum ini dari Semporna.

Di pihak Warisan Plus, isu ketua menteri `yang layak’ dikatakan tidak timbul. Mohd. Shafie adalah orangnya.

Di peringkat Gabungan Rakyat Sabah terdiri daripada Barisan Nasional (BN), komponen Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah dipercayai akan ada `onarnya’, dakwa pemerhati.

HAJIJI NOOR

Bagi UMNO dan BN, andai berkelebihan kerusi berbanding pencapaian sekutu gabungannya, adakah ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar akan membuat tuntutan? Ia seperti mana terakam daripada kuasa autonomi UMNO Pusat kepada UMNO Sabah “yang berkuasa memilih seorang Ketua Menteri dalam kalangan ADUN apabila mendapat kemenangan dengan majoriti mencukupi bagi pembentukan kerajaan negeri yang baharu”.

Dan adakah Bung Moktar boleh pikul tanggungjawab besar sebagai Ketua Menteri? Ada melontarkan kepada saya ketika penamaan calon di Tuaran semalam, isu bakal ketua menteri lebih utama dan kerja satu pasukan jatuh nombor dua. Suka tak suka, topik ini akan menjadi ramalan dan bahan kempen PRN kali ini.

Dua nama besar – Tan Sri Musa Aman dan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan – sudahpun terkeluar dari senarai UMNO/BN. Datuk Seri Anifah Aman yang disebut-sebut Mohd. Shafie baru lebih sebulan mengambil alih Parti Cinta Sabah (PCS) daripada Wilfred Bumburing dan masih dikira underdog. Andai enam bulan lagi PRN ini, barangkali PCS boleh bertapak di hati rakyat. Tetapi masa tidak berpihak kepada PCS.

Salleh Said Keruak
SALLEH SAID KERUAK

Meskipun ada menyatakan boleh sahaja letak orang profesional di kerusi Ketua Menteri asalkan dia dibantu. Cumanya, di Sabah dikatakan tak boleh ‘kutip letak sahaja’ jawatan ketua menteri. Itu dilemanya. Kalau tak pandai urus, habis. Hujung-hujung, orang lihat Mohd. Shafie lebih bagus daripada Musa. Pandai cakap, layanannya kepada rakyat Sabah cukup baik.

Dan ketika tidak ada angin, masakan pokok bergoyang, nama Datuk Seri Salleh Said Keruak muncul. Hubungan Bung Moktar dengan Salleh pun bukan baharu. Bung Moktar adalah Setiausaha Politik Salleh ketika beliau menjadi Ketua Menteri Sabah dan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri dari 1 Januari 1995 hingga 28 November 1996.

ANIFAH AMAN

Di pihak Bersatu juga tidak kurang taring. Selain Hajiji, difahamkan calon-calon disenarai pendek banyak. Antaranya timbalan Hajiji iaitu Datuk Masidi Manjun dan menantu Musa yang juga penyandang kerusi Membakut, Datuk Mohd. Ariffin Mohd. Arif.

Isu dihadapi Hajiji, menurut pemerhati di Sabah, dia sukar diterima orang UMNO setelah melompat ke Bersatu dan meninggalkan UMNO Sabah diketuainya. Katakan tolak bab itu, masih dikatakan sukar kerana Bersatu perlu buktikan ia diterima di Sabah. Bersatu dianggap parti para pemimpin dan wakil rakyat, bukannya parti akar umbi walaupun ia mempunyai 105,385 ahli sehingga akhir bulan lalu.

Masidi Manjun
MASIDI MANJUN

Begitupun dalam politik pada pengamatan saya, jumlah keahlian tidak menjamin sokongan kerana terbukti Warisan yang ditubuhkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, masih mampu menang 21 kerusi DUN. Dan lihat sahaja rekod lebih tiga juta ahli UMNO yang masih tetap kecundang 9 Mei 2018.

Cabaran untuk Bersatu di Sabah ialah untuk menang lebih daripada 15 kerusi walaupun pemerhati menjangka ia bukan semudah disangka. Bersatu bersaing di 19 kerusi dalam PRN ini.

Masuk hari ketiga di Kota Kinabalu ini, saya bersama tiga lagi rakan seperjuangan Utusan Malaysia, wartawan Hadi Ab. Manap berserta dua jurugambar, Shiddieqiin Zon dan Fauzan Azima masih terdengar bisikan irih om irih (itu itu juga). Ia kedengaran bila mana pemimpin lama diletakkan semula.

Adakah sinergi antara pemimpin baharu dengan lama mampu meyakinkan pengundi bahawa parti tertentu itu mempunyai rancangan peralihan kuasa yang jelas dan tersusun.

Dan ada segelintir masih percaya parti-parti yang ada digunakan sebagai platform oleh pemimpin lama untuk memastikan kelangsungan politik masing-masing.

Serta akhirnya pokok persoalan utama dalam PRN Sabah ke-15 ini terus terarah kepada siapa yang layak menjadi calon Ketua Menteri Sabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×