Sekeluarga tinggal di pondok usang - Utusan Malaysia

Sekeluarga tinggal di pondok usang

ZAIRIMAN Aziz berdiri di hadapan pondok yang menjadi tempat tinggal bersama isteri dan seorang anaknya di Kampung Guntur, Tengkek, Kuala Pilah. – UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seorang pengait buah kelapa sawit dan keluarga­nya sanggup tinggal di pondok usang dalam kebun getah atas alasan berdikari dan enggan menyusahkan ahli keluarga.

Zairiman Aziz, 42, berkata, dia bersama isteri, Nur Elina Atan, 20, serta anaknya, Nur Jannah Batrisya berusia setahun lapan bulan tinggal di pondok di Kampung Guntur, Tengkek dekat sini sejak tiga tahun lalu.

“Saya membina sendiri pondok kecil ini untuk kami tiga beranak tinggal. Kos untuk membuat rumah ini saya kumpul daripada bantuan sara hidup dan mula membeli zink, mencari kayu di sekitar kebun getah ini. Saya kumpul RM600 untuk membuat dinding dahulu.

“Saya tidak kisah tinggal di pondok ini kerana tanah ini kepunyaan keluarga. Kalau boleh mahu menyediakan rumah yang lebih selesa untuk isteri dan anak suatu hari nanti,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Zairiman berkata, ibunya, Ra­piah Bidin, 60, serta dua lagi adiknya tinggal berdekatan pondok itu.

“Saya tidak ada perselisihan faham dengan keluarga malah ibu saya selalu mengajak saya tinggal dengannya. Namun, saya tolak dengan baik, namun ada kalanya, jika hujan lebat ibu akan meminta saya pulang ke rumahnya untuk berteduh,” katanya yang bekerja mengambil upah mengait buah sawit di kampung berdekatan.

Kadang-kala sehari mampu mendapat RM15 dan boleh mencapai RM400 sebulan tetapi tidak menentu,” katanya yang tidak menerima sebarang bantuan bulanan daripada mana-mana pihak melainkan ihsan keluarga dan penduduk kampung.

Bagaimanapun, jelasnya, dia menggunakan bekalan elektrik dan air yang disambung dari rumah ibunya.

“Isteri saya seorang mualaf dan dia ada menerima bantuan berbentuk keperluan makanan untuk saudara baharu RM50 sebulan daripada jabatan agama,” katanya.

Menurut Zairiman, dia tidak menolak sekiranya ada pihak yang mahu membantu membina rumah kerana masih belum mempunyai wang yang mencu­kupi.

Sementara itu, nasib Zairiman dan keluarganya mendapat perhatian Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith yang menyampaikan sumba­ngan wang tunai dan bara­ngan keperluan seharian.

Sumbangan tersebut dise­rahkan oleh Setiausaha Sulit Kanan Eddin Syazlee, Jamali Salam yang turut memaklumkan Pejabat Ahli Parlimen Kuala Pilah akan berusaha mendapatkan sebuah rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk Zairiman.

Orang ramai yang mahu memberi sumbangan boleh meng­hubungi Zairiman di talian 013-457 2204 atau menyalurkan bantuan menerusi akaun CIMB, 0510429000332524. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN