KULIM: Polis berjaya memberkas seorang penjenayah yang melarikan diri dengan sebuah kereta selepas mengejarnya sejauh 24 kilometer dalam kejadian pada pukul 2 pagi di Sungai Dua, Pulau Pinang, kelmarin.
Lelaki berusia 46 tahun itu ditahan selepas kereta yang dinaiki bersama seorang rakannya terbabas ketika melalui selekoh di Sungai Dua, bagaimanapun rakannya itu berjaya melepaskan diri dan polis masih berusaha mengesannya.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, kedua-dua penjenayah terbabit cuba memecah masuk sebuah kedai di sini sebelum perbuatan mereka dikesan anggota polis yang melakukan tugas rondaan pencegahan jenayah di Jalan Suria di sini.
Menurutnya, anggota polis tersebut kemudian mendapati seorang lelaki sedang leka memotong pintu besi sebuah kedai manakala rakannya pula menunggu dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi berhampirannya.
“Melihat perbuatan lelaki itu kenderaan polis menghampiri lelaki terbabit untuk pemeriksaan, namun lelaki berkenaan terus meluru masuk ke dalam kereta dan memecut kenderaan itu menghala ke arah Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
“Polis bertindak mengejar kereta terbabit dan selepas mengejar sejauh kira-kira 24km didapati kereta penjenayah itu terbabas di bahu jalan di Sungai Dua,” katanya di sini semalam.
Beliau menambah, polis kemudian cuba menahan kedua-dua penjenayah itu, namun salah seorangnya berjaya melarikan diri.
Katanya, penjenayah yang ditahan itu dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk siasatan dan kenderaan yang dinaiki dirampas.
“Hasil pemeriksaan, lelaki itu mempunyai tujuh rekod jenayah lampau dan juga orang yang dikehendaki manakala kereta yang digunakan itu merupakan kenderaan curi,” katanya.
Jelasnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE










