GEORGETOWN: Suasana di Pantai Keluang, Bayan Lepas di sini bagaikan pesta berikutan kemunculan kepah yang menjadi tarikan pengunjung ke pantai berkenaan sejak minggu lalu.
Orang ramai mengambil peluang sempena cuti Hari Malaysia semalam dengan berkunjung ke pantai berkenaan bersama keluarga serta membawa alatan untuk mencari spesies laut itu.
Walaupun terpaksa menghabiskan masa berjam-jam meredah selut dan lumpur, ia bukan penghalang buat mereka.
Seorang pencari kepah, Mohd. Danial Kamal Mohd., 21, berkata, dia memperoleh kira-kira 120 kilogram (kg) kepah untuk dinikmati bersama keluarga.
Mohd. Danial yang tinggal di Sungai Nibong di sini berkata, dia datang ke pantai itu bersama enam lagi ahli keluarga yang lain.
“Kami tidak sangka jumlah kepah di sini banyak dan tidak seperti selalu, mungkin ombak kuat beberapa hari lalu menghanyutkan spesis kepah ke sini.
“Air laut pula surut sehingga pukul 8 malam, jadi kami sempat mencari kepah dalam tempoh yang lebih lama sehingga mencapai 120 kg hari ini (semalam),” katanya kepada Utusan Malaysia.
“Kepah segar mempunyai isi yang manis serta lembut dan sesuai direbus,” katanya.
Sementara itu, Azlan Bidin,42, berkata, dia kerap mencari kepah di kawasan itu untuk menambah sumber pendapatan.
“Hari ini saya berjaya mendapat 70 kg kepah selepas hampir tiga jam bergelumang dengan selut di sini.
“Kawasan ini memang terkenal dalam kalangan pencari kepah, kali ini ia dapat diperoleh dengan banyak mungkin kerana faktor tempoh air surut yang lama,” katanya. – UTUSAN ONLINE










