SEREMBAN: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) kini berdepan cabaran baharu apabila penagih dadah mulai menjadikan rumah masing-masing sebagai sarang melepaskan gian.
Pengarah AADK Negeri Sembilan, Dr. Sallina Mansor berkata, trend itu yang lebih dikenali sebagai mobile port dalam kalangan penagih dadah yang sering bertukar rumah dari semasa ke semasa sehinggakan menyukarkan pihak berkuasa untuk mengesan golongan itu.
“Sekarang ini, susah nak lihat port dadah, kini mula ada mobile port iaitu mereka mengambil dadah di rumah.
“Hari ini rumah orang lain, esok di rumah yang lain. Bukan mudah untuk mencari penagih dadah. Hari ini kita nampak aman tiada port tapi sebenarnya penagih ini bergerak dari rumah ke rumah, ini trend, susah nak cari mereka di mana,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Integrasi Sosial Mentoring The Star di Rumah Pangsa Jalan Tun Dr. Ismail dekat sini semalam.
Program itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak, Chew Seh Yong.
Sementara itu, menurut Dr. Sallina, usaha mengenali penagih dadah juga semakin sukar kerana mereka telah beralih mengambil pil daripada kaedah suntikan badan.
Jelasnya, pengambilan pil tidak menunjukkan kesan jelas kepada fizikal mereka.
“Saya difahamkan akan ada kursus untuk doktor bertujuan untuk mengesan penagih dadah.
“Kursus tersebut penting kerana seseorang penagih dadah itu perlu disahkan oleh pegawai perubatan yang berdaftar, jadi kursus ini membantu doktor untuk mengenali penagih,” katanya. – UTUSAN ONLINE










