ALOR SETAR: Pejabat Agama Daerah Kota Setar menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan kejadian sebuah kubur mendap dan mengandungi cecair merah yang didakwa darah di Tanah Perkuburan Islam di Masjid Al Irfan, Derga di sini semalam.
Pegawai Agama Daerah Kota Setar, Sheikh Ahmad Faisol Omar berkata, beliau tidak dapat mengesahkan jenis cecair berwarna merah yang terdapat di kubur berkenaan.
“Apa pun saya menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan selanjutnya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian aneh di kubur tersebut yang mengemparkan penduduk di bandar ini selepas gambar dan video mengenai kejadian itu tular di media sosial sejak kelmarin.
Utusan Malaysia difahamkan jenazah yang dikebumikan di kubur tersebut adalah seorang lelaki bekas guru yang meninggal dunia kira-kira dua minggu lalu.
Malah, arwah merupakan seorang yang suka membuat kebajikan seperti menderma kepada masyarakat terutamanya orang miskin.
Sheikh Ahmad Faisol berkata, pegawai forensik polis juga telah mengambil sampel cecair tersebut untuk siasatan.
“Kubur tersebut yang mendap juga telah ditimbus semula kelmarin,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan berita mengenai kejadian cecair berwarna merah di kubur tersebut tanpa pengesahan pihak berkuasa.
“Saya berharap berhentilah menyebar berita yang tidak pasti seperti itu dan masyarakat juga perlu menjaga sensitiviti maruah keluarga arwah berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh dalam kenyataannya memberitahu, hasil siasatan dapati tiada sebarang bentuk jenayah atau khianat berhubung penemuan cecair berwarna merah di kubur terbabit.
“Sampel tanah (diambil) untuk tindakan pengesahan Jabatan Kimia dan siasatan diteruskan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










