KOTA KINABALU: Pilihan raya negeri Sabah (PRN) ke-16 akan menguji sejauh mana pengundi boleh terima atau tidak pemimpin-pemimpin yang lompat parti.
Kalau rakyat boleh terima, bermakna politik Malaysia tidak ada masalah dengan budaya tersebut.
Misalnya, enam bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang terbabit dalam cubaan jatuhkan kerajaan Warisan Julai lalu yang kini bertanding bebas, katakanlah mereka menang, ini bermakna undang-undang antilompat tidak relevan lagi untuk diperjuangkan.
Orang di Semenanjung mungkin susah hendak cam nama enam mereka itu. Tapi orang Sabah tidak lupa. Mereka ialah Lasiah Baranting @ Anita (Tandek), Masiung Banah (Kuamut), Kenny Chua Teck Ho (Inanam), Abdul Rahman Kongkawang (Labuk), Musbah Jamli (Tempasuk) dan Saddi AbduL Rahman (Sukau).
Lasiah, Masiung dan Chua masing-masing menang atas tiket BN-PBS, BN-UPKO dan PKR, sementara Abdul Rahman, Musbah dan Saddi memenangi kerusi mereka pada 2018 atas tiket BN-UMNO.
Ya, undang-undang anti lompat memang tidak ada. Bukan sahaja undang-undang itu tidak ada, tetapi dengan kemenangan enam calon itu nanti bermakna “undang-undang rakyat” pun benarkan.
Begitupun bagi penganalisis Dr. Jeniri Amir, kredibiliti calon-calon lompat di Sabah sudah terhakis. Tidak meyakinkan, malah katanya, rakyat Sabah bimbang ‘pisang berbuah dua kali’.
“Yang akan disukai ialah wibawa calon yang diyakini mampu memacu pembangunan. Demikian juga dengan ramainya calon Bebas tawarkan diri (56)…sekadar kecewa, mencuba nasib atau menjadi proksi kepada calon-calon yang tidak bertanding.
“Mereka ini banyak kacau daun, yang akan hilang wang pertaruhan (deposit) dan tersepit antara dua gabungan (Gabungan Rakyat Sabah dan Warisan Plus) yang mempunyai entiti yang besar, berpengaruh dan sentuhan akar umbi,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Di sebalik itu, pertembu-ngan sesama sendiri calon-calon Gabungan Rakyat Sabah di 17 kerusi dalam PRN ini hanya mengakibatkan pecahan undi yang menguntungkan Warisan Plus.
Yang hairannya, Warisan Plus terdiri daripada Warisan, PKR, DAP, Amanah dan UPKO tidak pula membabitkan pertindihan kerusi – dengan PKR akhirnya terpaksa akur dengan peruntukan tujuh dari 14 kerusi yang dituntutnya.
Sesuatu yang ‘menguntungkan’ politik Semenanjung adalah PRN ini akan menjadi cerminan mereka untuk masuk gelanggang pilihan raya umum ke-15. Di Negeri di Bawah Bayu inilah indikator sejauh mana kesepakatan atau kerjasama antara parti-parti sekutu teruji serta boleh diterjemahkan dengan kemenangan 26 September ini.
Tujuh belas kerusi yang menyaksikan pertembungan sesama calon BN, Perikatan Nasional dan Parti Bersatu Sabah (PBS) adalah N02 Bengkoka (UMNO lawan PBS);
N05 Matunggong (PBRS lawan PBS); N07 Tandek (PBRS lawan PBS); N11 Kadamaian (PBRS lawan PBS); N22 Tanjung Aru (UMNO lawan PBS); N25 Kapayan (MCA lawan PBS), N26 Moyog (STAR lawan PBS) dan N34 Lumadan (UMNO lawan PBS).
Sembilan kerusi lagi ialah N38 Paginatan (UMNO lawan STAR lawan PBS); N39 Tambunan (STAR lawan PBS); N40 Bingkor (STAR lawan PBS); N41 Liawan (STAR lawan PBS); N42 Melalap (UMNO lawan PBS); N44 Tulid (STAR lawn PBRS lawan PBS); N45 Sook (STAR lawan PBRS); N47 Telupid (UMNO lawan PBS) dan N54 Karamunting (MCA lawan PBS).










