Mohon lesen basikal 2 dolar - Utusan Malaysia

Mohon lesen basikal 2 dolar

SYED Ahmad Haidrus menggunakan basikal lama yang mempunyai nombor plat berdaftar untuk urusan harian di George Town, semalam. Antara koleksinya nombor plat 1949. – UTUSAN/AMIR IRSYAD OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pemilik basikal sekitar tahun 1940-an hingga 1960-an perlu memohon lesen basikal pada harga dua dolar (mengikut nilai mata wang ketika itu) dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum dibenarkan menunggang basikal.

Mengimbau kenangan itu, pemilik yang juga pengumpul basikal lama di sini, Syed Ahmad Haidrus, 69, berkata, penunggang basikal juga wajib mematuhi undang-undang PBT dan saman akan dikeluarkan oleh polis sekiranya gagal mematuhi peraturan di jalan raya.

Menurut bapa kepada tiga cahaya mata itu, disebabkan bayaran yang dianggap mahal ketika itu, dia tidak mampu memohon lesen basikal berkenaan dengan bahagian Perlesenan Majlis Perbandaran Georgetown ketika itu yang kini dikenali Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MBPP).

Katanya, sebagai peminat basikal, zaman remajanya dipenuhi dengan kenangan bersama basikal termasuk pengalaman pertama kali menunggang basikal jenama Raleigh yang ketika itu dianggap mewah dan menjadi idaman ramai.

Tambahnya, basikal itu di­sewanya pada harga 10 sen bagi setiap setengah jam pada tahun 1960-an sebelum akhirnya diberi oleh majikannya.

“Waktu kecil saya ha­nya mampu melihat orang lain menunggang basikal import dari England kerana tidak mampu membelinya kerana dijual pada harga RM80 hingga RM100 sebuah.

“Untuk memiliki sebuah basikal pula, wajib mohon lesen terlebih dahulu pada harga dua dolar. Semasa itu, nilai mata wang tersebut agak besar jika hendak dibandingkan dengan lesen motosikal pada harga RM350 hari ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannnya di Ayer Itam, di sini semalam.

Pesara kerajaan itu memberi­tahu lagi, saman yang dikeluarkan adalah atas kesalahan gagal meletakkan nombor plat basikal pada mana-mana bahagian sama ada di belakang atau tepi, tiada lampu hadapan dan belakang serta membonceng penumpang di belakang.

“Undang-undang sangat ketat sekitar tahun 1950-an hingga 60-an. Saya semasa itu takut untuk menunggang basikal apatah lagi ketika terserempak dengan anggota polis.

“Dahulu, nak selisih dengan penunggang basikal lain pun payah. Jalan lengang dan jumlah kenderaan kurang, boleh dikira de­ngan jari,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, dahulu basikal hanya mampu dimiliki oleh kakitangan kerajaan seperti polis, jururawat, guru dan orang kenamaan manakala pekerja buruh terpaksa menyewanya di kedai basikal.

“Sehingga kini, saya masih mengumpul nombor plat basikal lama yang diperbuat daripada aluminium termasuk lapan buah basikal import dari England keluaran tahun 1950-an,” ujarnya yang turut memiliki basikal jenama lain seperti New Hudson, Rudge, Hopper dan Humber. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN