JOHOR BAHRU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya membongkar taktik sindiket penyeludupan dadah ke negara jiran dengan mengisinya dalam pelampung sebelum diikat pada boya di perairan Tanjung Piai, Pontian.
Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Johor, Kepten Maritim Sanifah Yusof berkata, modus operandi berkenaan dipercayai merupakan kali pertama digunakan sindiket penyeludupan dadah.
“Ketika rondaan dilakukan di posisi kira-kira 1.9 batu nautika Barat Daya Tanjung Piai pada pukul 3.10 pagi semalam, Maritim Malaysia telah menemukan dua pelampung yang telah dipotong dan disambung semula menggunakan pita pelekat sebelum diikat pada boya.
“Pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan itu mengandungi 4.1 kilogram (kg) dengan purata 1.03kg setiap bungkusan yang mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine bernilai RM225,000,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Maritim Malaysia Johor di sini, semalam.
Tambah Sanifah, pihaknya percaya ada individu yang menaiki bot kecil meletakkan pelampung ini di boya berkenaan sebelum sebuah bot yang lebih besar digunakan untuk menghantar pelampung ini ke sempadan.
“Kawasan penemuan pelampung yang diikat pada boya adalah laluan sibuk kapal dagang. Kita tidak menolak kemungkinan pihak di sebelah sana (penyeludup Indonesia) akan cuba masuk untuk mengambil dadah berkenaan.
“Kami mengesyaki modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah pertama kali digunakan. Sebelum ini terdapat sindiket yang mengikat bungkusan dadah di kayu pancang di pesisir perairan Parit Jawa, Muar awal tahun lalu,” ujarnya.
Sanifah memberitahu, tiada tangkapan dibuat membabitkan kes berkenaan setakat ini manakala siasatan dibuat dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE










