Lelaki dakwa ‘Rasul Melayu’ ditahan lagi - Utusan Malaysia

Lelaki dakwa ‘Rasul Melayu’ ditahan lagi

ABDUL Kahar Ahmad (tengah) dan beberapa pengikutnya ditahan anggota penguatkuasa JAIS di sebuah kediaman di Kemensah, Hulu Kelang, malam kelmarin manakala 16 lagi pengikutnya ditahan di Keramat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Empat tahun lalu, lelaki yang mengaku dirinya ‘Rasul Melayu’ dibebaskan selepas mengisytihar telah bertaubat me­nyebarkan ajaran sesat.

Bagaimanapun, Abdul Kahar Ahmad, 70, nampaknya tidak serik apabila mengaktifkan semula ajaran salahnya menerusi media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, Abdul Kahar Ahmad, 70, ditahan di Kemensah, Hulu Kelang manakala 16 lagi pengikutnya ditahan dalam serbuan di Su­ngai Long, Kajang dan Keramat di Kuala Lumpur kelmarin.

Kesemua yang ditahan terdiri sembilan lelaki dan lapan wa­nita berusia 14 hingga 70 tahun.

Menurutnya, pihaknya me­lakukan risikan selama dua bu­lan berdasarkan maklumat orang awam.

“Dalam serbuan tersebut kita rampas barangan seperti buku, telefon bimbit, komputer riba, al-Quran terjemahan dan risalah berkaitan ajaran itu,” katanya selepas menghadiri majlis Mesra Media 2020 di sini semalam.

Mohd. Shahzihan berkata, pihaknya juga akan mengesan pengikut Rasul Melayu yang dianggarkan seramai 97 ahli.

Ajaran Abdul Kahar difatwakan sesat pada 28 Mac 1991 dan diwartakan pada 29 Ogos 1991 oleh Majlis Fatwa Negeri Selangor.

“Setakat ini, kita mengenal pasti 17 lagi ajaran sesat baharu yang aktif. JAIS tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap penganut ajaran sesat,” ujarnya.

Tambahnya, kesemua tangkapan itu disiasat mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor)1995 (Doktrin Palsu), Seksyen 8,Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (Dakwaan Palsu), Seksyen 12(c), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor)1995 (Menghina Pihak Berkuasa Agama).

“Mereka turut didakwa me­ngikut Seksyen 13, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor)1995 (Pendapat yang Bertentangan Dengan Fatwa), Seksyen 16, Enakmen Jenayah Syariah (Sela­ngor)1995 (Penerbitan Agama yang Bertentangan Dengan Hukum Syarak) dan Seksyen 52, Enakmen Jenayah Syariah (Sela­ngor) 1995 (Percubaan),” katanya.

Pada Oktober 2009, Mah­kamah Tinggi Syariah memerintahkan Abdul Kahar dipenjara 10 tahun, denda RM16,500 dan enam sebatan bersabit kes penyebaran ajaran sesat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN